Followers

Tuesday, 9 September 2014

ISTERIKU HATI BATU - BAB 2



2
What? IC saya ada kat awak? Biar betul awak ni? Siapa suruh awak ambil IC saya, hah? Ooo… Awak ni kerja sebagai agen jual pendatang haram ya? Sebab tu awak ambil IC saya supaya senang nak bagi kat pendatang haram, kan? Hei, apa jenis orang awak ni, hah? Tak ada kerja lain ke yang boleh awak buat? Tak malu ke buat kerja-kerja macam ni? Patutlah awak tak kisah kena bayar kos kereta rosak mahal-mahal. Kereta sendiri jahanam pun tak hairan langsung. Rupanya kaya dengan duit haram!”
Tengku Aamir Budriez terus menjarakkan telefon bimbit dari cuping telinga. Bingit! Apa tak lenguh ke mulut perempuan meroyan ni bercakap tak berhenti-henti? Kena sampuk ke dia bekerja sebagai penceramah tak bertauliah? Dahlah bahasa yang digunapakainya tu sangat menghiris kalbu. Memang malang sungguhlah suami klon Angelina Jolie ni. Dapat isteri dah secantik bidadari, tapi sayang, mulutnya tu,aduhai… Macam minyak panas kena simbah air! Ini kalau dibawa bertanding dengan burung murai, mahu meninggal burung tu gamaknya. Tak pun awal-awal lagi burung tu dah surrender. Tak sanggup nak lawan berkicau! Hati Tengku Aamir Budriez membebel sendiri.
Excuse me, Cik Nur Azreen Aryanna. Sejahat mana pun saya, sebagai manusia yang masih ada akal waras, belum pernah lagilah saya terfikir nak buat kerja-kerja haram lagi tak berfaedah macam yang awak tuduh tu. Patutnya awak berterima kasih pada saya tau sebab saya yang terambil IC awak masa kita di balai polis tadi. Kalau orang lain, saya tak jamin awak boleh dapatkannya semudah yang awak fikir. Sebab banyak perkara yang boleh dia orang buat dengan IC awak dah tak serupa macam IC ni,” sindir Tengku Aamir Budriez lembut.
“Huh! Betul sangatlah kata awak tu. Entah-entah awak memang ada niat nak buat sesuatu kat IC saya, sebab tu awak cakap macam tu. Kan? Lepas ni bolehlah awak ugut saya minta duit ribu-ribu kalau saya nak ambil balik IC saya tu. Awak ingat saya tak tahu ke niat buruk awak tu? Tak payah nak temberanglah. Baik awak mengaku cepat. Kalau tak saya repot polis nanti!” ugut Azreen sudah melalut yang bukan-bukan. Lelaki bangsa buaya tembaga, mana boleh dipercayai. Silap hari bulan, kita pulak dibahamnya, getus hati Azreen.
Tidak Azreen sedar kesalahan itu turut berpunca daripadanya sendiri. Dia yang tergesa-gesa ingin pulang usai membuat laporan polis hingga tidak melihat terlebih dahulu kad pengenalan yang dicapainya dari kaunter aduan balai.
“Helo! Awak jangan nak merepek yang bukan-bukan boleh tak, hah? Siang tadi awak tuduh saya sengaja langgar kereta awak, sekejap tadi awak tuduh saya agen pendatang haram dan sekarang awak tuduh saya nak ugut awak pulak. Apa masalah awak sebenarnya, hah? Saya datang ni sebab nak pulangkan IC awak dan ambil balik IC saya, itu saja. Tak ada maknanyalah saya nak ugut awak semata-mata kerana sekeping IC awak yang dah layak bergelar arwah ni. Agak-agaklah kalau nak tuduh pun!” sembur Tengku Aamir Budriez. Jengkel sudah dia dengan sikap garang dan berangin tak bertempat gadis itu.
Ikutkan hati, mahu saja dia menyembur Azreen habis-habisan. Biar gadis itu tahu yang dia juga punya anginnya sendiri. Malah, lebih dahsyat daripada puting beliung jika keadaan mendesak. Dia sendiri jarang-jarang dapat mengawal bila mood beranginnya tiba. Macamlah aku teringin sangat nak ambil IC dia. Nasib baik aku masih ada hati perut nak pulangkan balik. Kalau aku buang aje ke dalam longkang depan aku ni, baru kau tahu. Sudahlah kepala aku ni berserabut dengan macam-macam hal. Terjumpa pulak dengan perempuan meroyan ni. Bikin kepala aku bertambah pening aje, rengus hati Tengku Aamir Budriez.
“Eleh. Kalau saya tak tuduh pun memang betul awak macam tu, kan? Kalau tidak tak adanya awak dengan penuh baik hati nak tolong bagi balik IC saya tu. Ni awak datang pun mesti ada niat tak baik, kan? Kalau awak tak nak mengaku pun saya dah tahu,” ujar Azreen tetap yakin dengan prasangkanya.
“Lantak awaklah nak tuduh saya apa pun, Cik Nur Azreen Aryanna oi. Saya tak ambil kisah, tapi yang saya tahu, saya nak IC saya balik. Sekarang jugak!” tegas Tengku Aamir Budriez. Bengang rasa dirinya bila berlawan bicara dengan Azreen.
Benar kata orang, rupa cantik tidak semestinya melambangkan hati pemiliknya juga baik. Sama seperti Azreen jugalah. Rupa saja seperti artis Hollywood, tapi perangai, nauzubillah!
“Baik, kalau awak nak IC awak balik, awak tunggu saja saya kat bawah tu. Jangan nak merayau ke mana-mana pulak. 15 minit lagi saya turun!” sambung Azreen memberi arahan sebelum tap! Talian diputuskan.
Terlongo Tengku Aamir Budriez sesaat dua.
“Kurang asam punya perempuan meroyan, senang-senang dia aje bagi arahan kat aku. Dia ingat aku ni siapa? Kuli batak dia? Sedap mulut sendiri aje nak suruh aku jadi pak gad tak berbayar kat sini. Sengal betullah perempuan ni!” Tengku Aamir Budriez merengus geram.
“Bersyukurlah muka kau tu cantik macam Angelina Jolie, pelakon pujaan aku, Cik Nur Azreen Aryanna oi. Ada jugaklah rasa hati aku nak jumpa dengan kau. Kalau tak, mimpilah kau nak tengok aku tercongok tunggu kau macam orang bodoh waktu-waktu begini!” Tengku Aamir Budriez membebel lagi.
Matanya melilau sekeliling kawasan tempat letak kereta di dalam bangunan kondominium 20 tingkat itu. Jelas sunyi sepi tanpa kelibat sesiapa. Sebarang bunyi pun tidak kedengaran. Dia adalah satu-satunya makhluk ciptaan Tuhan yang masih berada di situ tengah-tengah malam begini.
“Hisy! Mana perempuan sengal ni? Kata tadi nak turun. Ni dah berapa kurun aku tunggu, tak nampak-nampak pun bayangnya. Ke dia dah lupa aku tengah tunggu dia kat bawah ni?” Tengku Aamir Budriez mula hilang sabar.
Sesekali dia memandang cebisan kertas di tapak tangan. Tertera alamat rumah dan nombor telefon Azreen yang diam-diam diambil daripada pegawai polis bertugas tanpa pengetahuan Azreen. Bukan mencuri, tapi mengambil tanpa izin. Mudah berhubung andai berlaku sesuatu dan nyata tindakannya itu berguna buatnya waktu ini. Jika tidak jenuhlah dia melilau mencari Azreen di serata tempat demi mendapatkan semula kad pengenalannya.
Dikerling jam tangan Tag Heuernya selepas beberapa detik berlalu. Tengku Aamir Budriez tidak pasti sama ada masa yang lambat berlalu atau jarum jam tangannya yang rosak. Masa bagai tidak bergerak langsung waktu ini. Yang pastinya dia tidak mampu lagi berada dalam keadaan itu. Mematung tubuh di sisi kereta tanpa sebarang faedah.
“Argh! Dari aku tercongok sorang-sorang mengalahkan gad kondo ni, baik aku naik atas aje terus. Tengok apa yang perempuan sengal tu tengah buat. Entah-entah dia sedap-sedap baring tengok TV, aku pulak dibiarnya terpacak macam tiang lampu kat sini. Tak boleh jadi ni. Baik aku naik sekarang jugak!” Malas menunggu lagi, Tengku Aamir Budriez mengambil keputusan sendiri. Laju saja langkah kakinya diayun menuju ke kotak lif terdekat.

“Hei! Kan saya dah suruh awak tunggu kat bawah sana? Kenapa naik ke sini jugak? Tak faham bahasa Melayu ke awak ni?” Suara Azreen melangsing tinggi. Terkejut sungguh dia bila terpandang wajah selamba lelaki itu ketika membuka pintu. Mujur saja dia sudah memakai tudung.
Terkocoh-kocoh dia menerpa tatkala loceng pintu berbunyi nyaring beberapa kali. Sangkanya tukang paip yang ditunggu-tunggu sejak awal malam sudah tiba. Rupa-rupanya, lain yang ditunggu lain pula yang muncul.
“Bukan saya yang tak faham bahasa Melayu, tapi awak tu yang tak pandai tepati masa. Awak fikir saya ni tak ada kerja lain nak dibuat ke, hah? Senang-senang aje suruh saya tunggu kat bawah sana berjam-jam! Awak pulak sedap-sedap duduk melepak dalam rumah. Saya tak kira, saya nak ambil balik IC saya aje. Mana IC saya?” Garang Tengku Aamir Budriez bertanya.
Dia menyua tangan di celah-celah lubang pintu gril yang tertutup rapat. Sempat juga matanya menatap tubuh Azreen yang hanya bersalut sepasang gaun tidur labuh. Tanpa solekan mekap, wajah itu tetap kelihatan anggun walau tiada senyuman. Berdebar-debar hati Tengku Aamir Budriez meski dia tidak mengerti makna debaran itu. Matanya juga tidak berasa bosan menatap Azreen. Azreen berjilbab ke, berbaju tidur ke, malah kalau hanya berbikini pun, pasti kelihatan anggun. Bikini? Perempuan sopan macam Azreen ni tahu ke berbikini?
Eh, wait, wait. Sopan ke Azreen kalau bila dia bercakap tak pernahnya rendahkan suara? Muka pula langsung tak jernih. Masam mengalahkan buah mangga muda kat kebun nenda aje. Fikiran Tengku Aamir Budriez sudah merepek.
“Saya bukan sengajalah nak suruh awak tunggu lama-lama kat bawah sana tu. Saya tengah sibuk ni tahu tak!” tegas Azreen.
Dia mencekak pinggang. Dia memang tahu, malah cukup tahu Tengku Aamir Budriez hanya datang untuk mengambil kad pengenalannya. Tapi, tak salah rasanya kalau dia membiarkan lelaki itu menunggu dia di bawah sana. Bukan dia suruh tunggu selama 15 hari atau 15 jam. Hanya 15 minit. Itu pun dah dikira lama ke? Nampak sangat dia ni tak ada kesabaran, kutuk hati Azreen.
Sesekali Azreen mengerling ke bilik air. Tidak jauh dari tempatnya berdiri, pintunya terbuka luas. Azreen sebenarnya bimbang dengan keadaan yang sedang berlaku di dalam ruang itu waktu ini.
“Huh, sibuk sangatlah konon,” cebik Tengku Aamir Budriez.
“Setakat nak bagi balik IC saya tu, takkanlah awak langsung tak ada masa? Entah-entah awak tu yang kerja agen pendatang haram, sebab tu awak sengaja lengah-lengahkan masa tak nak bagi IC saya balik. Betul, kan?” Tengku Aamir Budriez sengaja mengulang tuduhan wanita itu terhadapnya. Sekadar ingin menggertak, walhal sekilas pandang pun dia yakin Azreen bukan begitu orangnya. Tapi, tak tahulah kalau telahannya itu salah. Manusia zaman sekarang, sukar dibaca sifatnya dari luaran.
“Amboi, amboi, amboi… Sendiri buat salah, nak tuduh orang lain pulak ya?” Azreen sudah menjegil mata.
“Wahai, encik berbangsa buaya tembaga, lain kali guna mata rabun awak tu untuk tengok benda-benda penting. Bukan tengok polis-polis perempuan yang bertugas kat balai tu. Kalau ya pun awak nak cari mangsa, carilah kat port lain. Ini kat dalam balai pun nak menggatal jugak. Apa kes? Tak pasal-pasal kita dah tertukar IC sekarang,” sindir Azreen.
Bukan dia tidak sedar dengan pandangan petugas-petugas perempuan terhadap lelaki itu sewaktu mereka berurusan di balai polis siang tadi. Gedik semacam! Lelaki nan satu ini pun apa kurang tingkahnya. Gatal bagai terkena biang keladi. Suka benarlah dapat mencuci mata percuma! Perasan diri bagus sangatlah tu. Hati Azreen tak sudah-sudah mengutuk.
Langsung terlupa hukum mengutuk seseorang Mukmin itu sama seperti membunuhnya. Itu yang tertulis dalam hadis riwayat Jamaah selain Ibnu Majah dan hadis riwayat Tsabit bin Adl-Dlahak. Azreen tahu tentang itu, tapi dalam keadaan diri dikawal nafsu marah, segalanya hilang begitu saja. Jelas kemarahan itu mampu membutakan mata hati manusia jika tidak bijak mengawalnya.
“Hmm… Tak tahu pulak saya awak ni pun antara jenis perempuan jaga tepi kain orang. Sempat lagi awak sekodeng saya ya?” Tengku Aamir Budriez tersenyum sinis. Kemudian dia merengus kesat.
“Biji mata saya, suka hati sayalah nak tengok apa pun. Awak tu yang patut kawal biji mata sendiri. Kalau tak kerana awak yang terpekik terlolong macam bini Tarzan tercekik biji rambutan semata-mata nak balik cepat siang tadi, tak adanya kita nak tertukar IC dan saya pun takkan buang masa tercongok depan rumah awak malam-malam buta begini. Apa awak fikir saya suka menghadap muka ais batu awak tu? Harap rupa saja lawa tak guna, cik kak oi, kalau budi bahasa zero!” sembur Tengku Aamir Budriez tidak lagi mempamerkan budi bahasanya.
Sudahlah dia digelar lelaki bangsa buaya tembaga, tingkah lakunya pula dipersoalkan. Helo! Seburuk mana pun diri aku ni, aku masih ada budi bahasa tau! Suka hati akulah nak mengurat ke, nak menggoda siapa pun. Ada kena-mengena dengan kau ke, perempuan sengal oi? bebel hati lelakinya.
Azreen merengus. Muka aku yang begini lawa dikatanya muka ais batu? Hampeh punya encik bangsa buaya tembaga! Baru saja Azreen mahu menjawab, kedengaran sesuatu dari bilik air. Segera dia menerpa. Pasti beg plastik yang dijadikan penampan sementara bagi paip singki yang bocor sudah pecah terburai. Nama pun plastik, bukannya besi. Manakan kukuh nak menampung pancuran air deras. Dibiarkan saja Tengku Aamir Budriez tercengang-cengang melihat tingkahnya.
“Biar betul perempuan ni. Baru aku sembur sikit dia dah lari masuk rumah. Takkan sensitif sangat kut? Itu baru sikit aku kata. Agaknya kalau aku kutuk kaw-kaw mahu terjun bangunan perempuan sengal ni.” Tengku Aamir Budriez mengomel sendiri tanpa mengetahui punca Azreen berkelakuan begitu.
“Argh! Lantak dialah nak terasa hati ke apa. Dia sendiri pun kalau cakap macam mata pisau aje ayat-ayatnya. Gila tajam. Kenapa pulak aku nak ambil kisah dia terasa hati ke tak? Yang aku kisah sekarang hanya IC aku. Mahu jadi mamat Indon aku kalau tak ada IC. Nak ke mana-mana pun payah.” Selamba Tengku Aamir Budriez membuka pintu gril yang tidak berkunci. Dia melangkah ke ruang tamu.
Tanpa silu dia duduk di sofa. Mata pula sudah melilau ke seluruh ruang. Pandai jugak perempuan sengal ni hias rumah ya. Ada taman mini, ada ruang berehat, ada ruang menonton. Rumah sempit pun nampak besar bila dia hias begini. Ringkas, tapi nampak mewah. Tengku Aamir Budriez memuji Azreen tanpa ketahui pemilik sebenar kondominium itu.
“Hoi! Siapa suruh awak masuk, hah? Keluar dari rumah saya sekarang!” jerkah Azreen terkejut bila melihat kelibat lelaki itu di ruang tamu rumah. Kalut jari-jemarinya mengelap wajah basahnya. Bukan saja wajah, malah hampir sebahagian gaun tidurnya lencun terkena pancuran air tatkala dia cuba mengikat semula plastik ke lubang batang paip bocor.
Menyusahkan dia yang sejak awal malam berusaha mengurangkan kebocoran sementara menanti ketibaan tukang paip yang sehingga kini belum kelihatan kelibatnya. Sedangkan waktu bakal menganjak ke tengah malam beberapa minit lagi. Panas hati Azreen jadinya. Bertambah-tambah panas melihat tingkah Tengku Aamir Budreiz. Selamba sungguh lelaki itu bersantai di sofa, bagaikan rumah itu miliknya. Apa dia ingat sofa tu harta tok nenek dia wariskan pada aku ke? Sesedap badan aje dia melepak kat sofa kesayangan aku. Muka Tembok Berlin betullah lelaki bangsa buaya tembaga ni, cemuh hati Azreen.
“Amboi, sedapnya bahasa! Awak fikir saya ni apa? Tunggul kayu nak suruh terpacak depan pintu rumah ni sampai ke esok pagi? Sorry sikit ya! Tak ada maknanya saya nak jadi gad percuma kat depan pintu rumah awak ni!” tegas Tengku Aamir Budriez.
“Dah, dah! Jangan nak buang masa saya lagi. Give back my IC. Now!” perintah dia. Tajam matanya merenung Azreen. Gadis itu semakin menyinga.
“Awak ofer jadi bodyguard percuma pun saya tak hinginlah! Memang jenis manusia tak ada iman langsunglah awak ni. Tak reti nak sabar! Ingat saya nak simpan sangat IC awak tu? Baik. Sekarang jugak saya bagi. Tunggu kat sini. Jangan nak memandai-mandai nak ke sana sini pulak. Rumah ni bukan rumah tok nenek awak, jangan nak belek-belek segala benda!” Radang Azreen sebelum berlalu dengan mulut masih membebel-bebel sendiri.
“Huh! Bagi amaran macamlah aku teringin sangat nak belek-belek rumah dia ni. Rumah aku seribu kali lagi cantik daripada rumah sebesar kotak mainan ni tau!” rungut Tengku Aamir Budriez sendiri. Sengaja dia menayang sikap bongkaknya walau dia bukan begitu orangnya. Hati sedang meruap marah, apa-apa kata pun terluah dari mulut.
Seminit kemudian Azreen muncul semula.
“Nah! Ambil balik IC awak! Pergi balik dan jangan datang ke sini lagi dah sampai bila-bila!” halau Azreen. Dia terus menghala tangan ke muka pintu rumah. Sebelah tangan lagi pula sudah mencekak pinggang. Garang.
“Jangan kata nak datang, nak lalu kat kawasan kondominium ni pun belum tentu saya nak buat, Cik Nur Azreen Aryanna oi. Awak bentanglah karpet merah dari tingkat atas sampai ke pintu pagar bangunan pun, tak adanya saya nak jejak kaki ke sini lagi. Buat apa saya nak datang lagi kalau setakat nak tengok muka ais batu awak tu. Buat sakit hati sendiri adalah,” ujar Tengku Aamir Budriez selamba.
Sebenarnya dia hanya menipu. Hatinya memang sudah terpikat dengan wajah serius Azreen. Biar semasam mana pun wajah itu, biar setegang mana pun raut itu, dia tidak peduli. Malah, tidak mahu ambil peduli. Ada tarikan pada wajah Azreen di mata lelakinya. Mungkin Azreen tidak tahu, Azreen adalah satu-satunya gadis yang berjaya menghuru-harakan hati lelakinya walau ini kali kedua mereka bersua selepas pertemuan pertama siang tadi. Bukan hanya kerana gadis itu iras artis pujaannya, tetapi kerana keunikan diri Azreen sendiri. Gadis itu berbeza daripada wanita-wanita lain yang pernah dia temui selama ini.
“Karpet merah ke, karpet biru ke, tak adanya saya nak bentang semata-mata nak jemput awak ke sini. Kalau bagi batang penyapu tu yalah kut. Senang sikit nak halau balik lelaki muka tembok macam awak ni!” Azreen menjeling tajam bila terlihat senyuman lebar lelaki itu.
“Hai… Nampak sangat awak benci pada saya.” Tengku Aamir Budriez tertawa kecil pula. “Yalah, orang dah tak suka. Takkan saya terhegeh-hegeh nak datang pulak, kan?”
Dia menyambung tawa dalam gaya menggoda dengan harapan terlukis senyuman biar pun secebis pada wajah serius itu. Harapan hanya tinggal harapan bila Azreen menarik muka masam. Malah lebih masam daripada sebelumnya. Menjadikan tawa Tengku Aamir Budriez semakin galak. Entah kenapa dirasakan Azreen semakin cantik bila berkeadaan marah. Bertambah cantik bila disertai dengan jelingan mautnya. Menggoda betul!
By the way, terima kasih kerana sudi pulangkan IC saya semula. Harap-harap kita berjumpa lagi di lain kali, tapi biarlah dengan keadaan yang lebih baik. Mana tahu kita boleh keluar minum kopi sama-sama suatu hari nanti. Siapa tahu, kan?” Tengku Aamir Budriez cuba mengayat pula. Dikenyit matanya sekali.
Azreen merengus. Dah mula pasang jerat dah si playboy ni. Dasar bangsa buaya tembaga betul!
“Tak ada lain kalinya lagi, encik buaya tembaga oi. Jual ajelah minyak awak tu kat orang lain. Saya tak minat nak beli. Nak tengok pun tak sudi.” Selamba saja Azreen menjawab.
“Pintu dah ternganga, gril pun tak berkunci, jadi dipersilakan keluar.” Sinis Azreen mengunjuk tangan ke pintu. Mengisyaratkan lelaki itu supaya pergi dari situ.
Tengku Aamir Budriez hanya mengangkat bahu. Meski umpan tidak mengena, dia tidak kesal. Dia sekadar mencuba. Tiga kali Tengku Aamir Budriez menapak, langkahnya terhenti. Di muka pintu, sekumpulan lelaki memerhati gelagat dia dan Azreen dengan pandangan yang cukup dimengertikan. Sejak bila mereka berdiri di situ, dia tidak pasti.

Gedebuk! Azreen jatuh pengsan. Tengku Aamir Budriez hanya mampu memandang sekilas. Dia sendiri sudah terkaku di tempatnya. 

No comments:

Post a Comment