4
Strange foreign beauty
I’ll never know what’s in your heart
Does anyone know how it feels to hold you
does anyone know the secret of your mind
Strange foreign beauty
I’ll never come to share your world
Does anyone know how it feels to
live with you
does anyone know the secret of
your life…
I’ll never know what’s in your heart
Does anyone know how it feels to hold you
does anyone know the secret of your mind
Strange foreign beauty
I’ll never come to share your world
Does anyone know how it feels to
live with you
does anyone know the secret of
your life…
Asyik Tengku
Aamir Budriez menyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak radio di sudut bilik. Lagu Strange Foreign Beauty
nyanyian kumpulan Michael Learns to Rock itu adalah salah satu daripada
lagu kegemarannya. Malah, hampir kesemua lagu
nyanyian kumpulan dari Denmark itu dihafalnya. Dia bukan peminat utama, namun lagu-lagu berentak softrock
seperti yang dibawa kumpulan itu amat diminatinya.
Sambil menyandar tubuh di kepala katil,
Tengku Aamir Budriez menyelak-yelak helaian kertas yang dibawa balik dari
pejabat siang tadi. Malam-malam begini dia lebih selesa menyiapkan kerja di
atas katil. Dia bebas melakukan apa-apa aksi sekalipun. Meniarap, mengiring, malah kuak lentang sekalipun
boleh. Tak ada siapa yang peduli. Kalau ada yang kisah sekalipun,
apa yang mereka boleh lakukan? Suka hati dialah
nak melentur badannya menjadi bentuk apa pun, bukan?
Sesekali mata Tengku Aamir Budriez mengerling
jam pada dinding bilik. 11.30
malam.
“Mana dia ni? Dah lewat macam ni pun tak tahu
nak balik lagi ke? Takkan dah lupa jalan balik rumah ni kut?” rungut Tengku Aamir Budriez tertanya-tanya sendiri.
Malam semakin larut,
namun kelibat Azreen masih tidak kelihatan. Bimbang juga Tengku Aamir
Budriez andai berlaku apa-apa kepada isterinya
itu. Walau mereka berkahwin atas tiket terpaksa, dia tetap menjalankan
tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Itu kewajipannya, sama ada dia suka
ataupun tidak dan dia cuba mengikhlaskan hati
untuk melakukannya dengan penuh rela sejak hari pertama dia bergelar suami
kepada Azreen.
“Dia ni tak tahu nak call aku ke kalau
nak balik lambat? Aku ni dah macam kucing hilang anak risau fikir pasal dia
tiap-tiap hari. Kalau dia tu adik aku, dah lama
aku cepuk-cepuk. Biar cerdik sikit otak tu. Bolehlah fikir elok-elok kut lepas tu. Ini isteri. Tersalah cepuk dia tuduh aku
dera dia pulak. Tak pasal-pasal kena masuk court pulak aku nanti. Dahlah
malu pasal kahwin pun tak habis-habis, lagi nak tambah penyakit,” rungut dia
lagi.
Lamunan Tengku Aamir Budriez berkecai sesaat
kemudian. Dari celah pintu gelongsor yang terdapat di tengah-tengah ruang
bilik, sesusuk tubuh yang begitu dikenalinya melangkah masuk setelah pintu
utama bilik tidur ditutup rapat. Tubuh itu menapak ke ruang tidur, tempatnya
berada kini. Cepat-cepat Tengku Aamir Budriez mendapatkan
kertas kerjanya semula. Pura-pura membaca.
Beberapa saat kemudian pintu gelongsor itu
ditolak luas-luas. Wajah serius Azreen tersembul di situ.
“Assalammualaikum,
Reen. Lewat Reen balik hari ni,” tegur Tengku Aamir Budriez lembut. Dia sengaja
menayang riak terkejut walhal dia sudah menghendap
gerak-geri isterinya sejak
Azreen membuka pintu utama bilik lagi. Betullah dia ni kura-kura dalam
perahu. Saja buat-buat tak tahu! Hatinya mengutuk diri sendiri.
Azreen hanya mengangguk. Dia langsung tidak
ada rasa mahu menyahut. Apa lagi menatap wajah lelaki yang
tidak pernah tidak ceria menyambut kepulangannya saban hari. Biar selewat mana
pun Azreen tiba di rumah, wajah Tengku Aamir Budriez tetap saja tenang dan
ceria. Seolah-olah suaminya itu benar-benar gembira menyambut kepulangan
Azreen. Sedangkan Azreen tidak pernah berharap diberi layanan sebegitu baik
oleh sesiapa pun, terutamanya daripada Tengku Aamir Budriez sendiri.
Azreen terus merebah tubuh letihnya ke sofa.
Tidak jauh dari katil tempat Tengku Aamir Budriez berada. Di situlah tempatnya
melepas lelah saban hari. Tak kiralah siang atau malam. Dia tidak peduli
langsung pada sepasang mata suaminya yang masih leka memerhati tingkah
dinginnya. Entah apa yang menarik perhatian lelaki itu untuk terus-terusan
menatapnya, Azreen tidak tahu dan dia juga tidak mahu ambil tahu. Jika lelaki
itu mahu menatapnya sampai terjuling matanya sekalipun, Azreen takkan peduli.
Di waktu-waktu begini dia hanya tahu dirinya letih dan dia mahu berehat. Itu
saja.
“Kenapa lewat sangat Reen balik hari ni?
Selalunya pukul 10.00 Reen dah sampai rumah.
Banyak sangat ke kerja kat pejabat tu atau Reen singgah kat mana-mana masa
balik tadi?” Bertubi-tubi Tengku Aamir Budriez bertanya, tetap bernada lembut. Sengaja
menunjuk sikap prihatinnya dengan harapan hati batu isterinya boleh mencair.
Dia mengeluh kecil apabila
riak Azreen tetap sama. Beku! Wahai, hati,
sabarlah kau melayan sikap dingin beku isteri tuan kau ni. Mula-mula kenal
dulu, mulut dia macam machine gun. Tembak tak henti-henti. Lepas kahwin
dah bertukar jadi machine gun tersumbat peluru pulak. Langsung tak
berbunyi. Kalau aku paksa bercakap, dia bertukar jadi sebutir bom atom pulak.
Meledak marah tak tentu arah macam menjolok sarang tebuan. Menyengat tak ingat!
Dan, itulah yang aku cuba elak sepanjang masa.
Jadi, banyak-banyaklah bersabar, wahai hatiku nan sekeping ya.
Akal Tengku Aamir Budriez memujuk hati sendiri.
Matanya pula tak jemu-jemu merenung wajah
serius Azreen. Dalam serius, kecantikan gadis itu tidak berkurangan di mata
Tengku Aamir Budriez. Nama pun kasanova. Miang tak kira masa. Mujur halal.
Kalau tak entah banyak mana lagi dosa aku kena tanggung.
Hati Tengku Aamir Budriez pula sibuk membebel.
“Reen sorang aje ke yang buat kerja-kerja kat
pejabat tu? Ke ada orang lain jugak yang stay kat pejabat tu sampai
lewat malam begini?” Tengku Aamir Budriez masih menebalkan muka bertanya.
Kesian aku tengok isteri aku ni. Lesu betul
muka dia. Dahlah dia penat siapkan kerja-kerja pejabat, balik rumah kena menghadap aku pulak. Kalau aku ni lelaki pilihan dia
mungkin tak sakit sangat mata dia memandang, tapi
dah nama pun kena tangkap basah, ada peluang ke dia nak buat pilihan? Lainlah kalau kami dah bercinta sebelum kena tangkap basah.
Masa hari kahwin pun bukan main masam muka
dia tayang kepada semua.
Bercinta apanya macam tu? Eh, sekejap,
sekejap. Aku cuma kata aku kesian. Yang aku melalut tak tentu hala ni kenapa?
Ada kena-mengena dengan rasa kesian ke? Hati
Tengku Aamir Budriez membebel lagi.
“Kenapa Reen tak bagi
tahu abang yang Reen akan balik lewat hari ni? Kalau tak boleh abang…”
“Boleh tak kalau Tengku jangan banyak tanya?
Tengku tak tahu ke yang saya ni penat? Penat sangat-sangat tahu tak!” herdik Azreen tiba-tiba saja naik angin. Baran
sungguh hatinya melihat tingkah lelaki itu waktu ini.
Sejak bila mulut Tengku Aamir Budriez dinaik
taraf sebecok murai pun Azreen tak tahu. Tapi,
yang dia tahu, dia sangat-sangat tak suka mendengar lelaki itu bercakap. Lagi
dia tak suka bila Tengku Aamir Budriez cuba berbuat baik dengannya. Dasar lelaki hipokrit! Dah kau buat aku
terikat dalam perkahwinan paksa ni, kau cuba tunjuk baik pulak! Macamlah aku
tak tahu apa yang kau nak. Memang jenis lelaki bangsa buaya tembaga. Gatal
miang buluh betul! maki Azreen dalam hati.
Azreen sebenarnya sudah bosan diasak soalan
yang sama setiap malam. Hinggakan dia sudah boleh menghafal setiap satu soalan
itu. Tambahan pula orang yang bertanya itu adalah orang yang paling dibencinya
di muka bumi ini. Lagilah cepat menggelegak hti
panasnya. Sama panas dengan kawah gunung berapi. Hanya menunggu masa yang tepat
saja untuk meletup.
“Kenapa? Salah ke kalau abang nak tahu sebab musabab Reen
balik lewat setiap malam? Dah jadi tanggungjawab abang ambil tahu keadaan Reen
tak kira masa pun. Salah ke kalau abang nak ambil tahu keadaan isteri abang
sendiri?” Tengku Aamir Budriez bertegas kali ini. Makin aku berlembut, makin
dia pijak kepala aku. Melampau betul!
“Salah ataupun
tak, itu saya tak peduli. Yang saya nak Tengku peduli dan perlu ingat, saya tak
suka disoal siasat sesiapa pun, terutamanya
Tengku sendiri. Suka hati sayalah nak balik pukul berapa pun.
Sekurang-kurangnya saya balik ke rumah jugak, kan?
Kalau saya tak balik langsung lain ceritalah!” bentak Azreen.
“Huh! Reen cakap macamlah abang tak pernah
balik ke rumah selama kita kahwin ni,” sanggah Tengku Aamir Budriez.
“Kalau Reen ingat, selama kita kahwin ni,
abang yang lebih banyak buang masa kat rumah ni daripada
Reen tahu! Reen sendiri tak pernah ada masa, tapi
abang tak kisah sebab abang tahu ke mana Reen pergi dan apa yang Reen buat kat
luar tu. Cuma sekarang abang nak tahu dari mulut Reen sendiri ke mana Reen
pergi tadi sampai begini lewat baru Reen balik. Abang call phone Reen, tapi Reen tak jawab. Mesej abang pun Reen tak balas.
Nak kata tak ada kredit abang yang top-upkan
walau Reen tak pernah mahu terima. Kalau ya pun Reen nak ke mana-mana, bagi tahulah abang. Kalau terjadi apa-apa pada Reen
nanti, abang jugak yang akan dipersalahkan.”
“Argh! Tak payahlah Tengku tunjuk baik nak
ambil berat pasal saya. Tahulah saya jaga diri saya sendiri. Selama saya hidup
dalam dunia ni pun tak pernah lagilah saya susahkan siapa-siapa. Orang macam
Tengku ni aje yang banyak menyusahkan saya!” Azreen terus bangkit lalu membuka
almari pakaian. Terasa semakin panas sofa tempatnya melepas lelah. Sepanas api
marak yang disimbah minyak. Menggelegak!
Dengan kasar dia mencapai baju tidur dan
tuala di ampaian. Kemudian cepat-cepat dia menapak ke bilik air. Ingin
membersihkan diri sekali gus melarikan diri daripada pertengkaran yang saban malam berlaku antaranya
dan lelaki itu. Bukan saja setiap malam, bahkan
setiap kali bersua muka pasti mereka akan bertikam lidah tak kiralah tempat dan
masanya.
“Ooo… Jadi, Reen anggap
abanglah yang menyusahkan hidup Reen selama ni ya?” Tengku Aamir Budriez
benar-benar tersinggung. Dia bangun, menyebak
selimut. Lalu mencekak pinggang.
“Reen fikir abang nak ke semua ni berlaku
dalam hidup kita? Abang sendiri pun tak pernah berdoalah kita bertemu jodoh. Tapi, sebagai suami,
abang masih sedar dengan tanggungjawab dan kewajipan abang terhadap Reen. Jadi, sama ada Reen suka ataupun
tidak, abang tetap akan ambil tahu dan akan
terus ambil tahu tentang Reen selagi Reen bergelar isteri abang. Reen faham
sekarang?” jerkah Tengku Aamir Budriez.
Wahai, hati, perkuatkan kesabaranmu setiap kali berhadapan dengan
ujian cinta kau ni, pujuknya diam-diam. Sungguh, dia tidak tahu selama mana dia
mampu menahan sabar setiap kali berhadapan dengan isteri yang punya hati
sekeras konkrit dan lidah setajam mata pedang ini. Namun,
sedaya upaya dia mencuba dan akan terus mencuba,
walau kadangkala kesabarannya benar-benar teruji.
“Oh… Habis tu,
Tengku ingat saya nak sangatlah nak jadi isteri Tengku tu? Tolong sikit ya!
Kalau bukan kerana paksaan keluarga kita, tak adanya saya teringin nak hidup
dengan lelaki tak guna macam Tengku ni tahu tak! Hidup hanya tahu menyusahkan
orang lain aje!” Azreen benar-benar menyinga.
“Sudahlah! Saya malas nak bertekak dengan
Tengku lagi. Siang malam Tengku hanya tahu nak membebel aje. Apa tak boleh ke
Tengku bagi saya bersenang hati setiap kali balik ke rumah neraka ni? Tiap-tiap
kali tengok muka Tengku aje, jangan kata hati,
satu badan saya ni sakit-sakit jadinya tahu? Sakit telinga dengar Tengku
membebel, sakit mata tengok perangai Tengku satu keluarga. Sakit jiwa melayan kerenah
kau orang yang entah apa-apa tu dan macam-macam sakit lagilah!” berang Azreen. Dia
terus berlalu ke bilik air dan bum! Pintu bilik air dihempas kuat. Melepas
tekanan pada daun pintu yang nyata tidak bersalah itu.
“Hisy!!!” Dalam bengang Tengku Aamir Budriez
menyepak kusyen hiasan di permaidani bilik. Melambung tinggi ke siling sebelum
jatuh tepat ke bucu katil. Mujur saja tidak melanggar lampu tidur di sisi meja
kecil.
“Hari-hari macam ni. Kalau tak siang, malam
pasti bergaduh. Sampai mati pun kami tak boleh berbaik-baik kalau begini punya
perangai singa betina ni. Tak boleh ditegur langsung! Macam mana aku boleh
setuju nak kahwin dengan perempuan muka ais batu ni pun tak tahulah!” rengus
Tengku Aamir Budriez. Berombak-ombak dadanya menahan marah.
Dia benci berada dalam keadaan begitu.
Keadaan sama dilaluinya hampir setiap hari sejak dia dan Azreen bergelar suami
isteri. Hinggakan seperti menjadi tabiat mereka untuk bertekak dan terus
bertekak, walau hanya untuk perkara-perkara
remeh. Salah mereka tidak tahu menghargai pasangan atau memang mereka sudah
ditakdirkan hidup begini?
“Astaghfirullah
al-azim…” Lafaz itu terluah dari mulut Tengku Aamir Budriez beberapa
saat kemudian. Sesungguhnya keampunan itu adalah untuk memelihara diri daripada keburukan dosa-dosa yang pernah dilakukan. Itu
yang dipelajarinya suatu masa dulu.
Diraup wajahnya beberapa kali. Cuba
menghambat marah yang masih membara di hati. Dia terduduk di katil. Terasa
sebal dengan apa yang berlaku walau dia telah sedaya upaya berusaha menghalang
kejadian itu daripada berlaku.
“Ya Allah… Berikanlah
aku kekuatan dalam menghadapi dugaan rumah tanggaku
dan berikanlah jugak hidayah buat isteriku agar dia berubah sikap,” pinta
Tengku Aamir Budriez mengulang-ulang doa yang saban waktu dipanjatkannya.
No comments:
Post a Comment