Followers

Tuesday, 9 September 2014

ISTERIKU HATI BATU - BAB 8



8
“Alhamdulillah… Settle jugak semua kerja aku,” ujar Tengku Aamir Budriez puas hati. Dia menutup fail yang sejak tadi dibuka luas-luas depannya. Lalu bangun membuat regangan sebelum menapak meninggalkan ruang kerja.
Dia masuk ke ruang tidur. Bersebelahan saja dengan ruang kerja. Dibuang pandangannya ke setiap sudut. Tiada siapa di situ melainkan dia sendiri. Ditolak pula pintu gelongsor di tengah-tengah ruang. Dijenguk kepalanya ke ruang tamu bilik. Tetap kosong. Digaru-garu kepala tak gatalnya.
“Aik, mana pulak perginya Azreen ni? Tadi aku tengok dia baring-baring santai aje kat sofa. Ni dah tak ada pulak. Baru semalam aku minta dia duduk rumah hujung-hujung minggu begini. Takkanlah dia keluar tanpa bagi tahu aku dulu kut. Sejak bila dia pandai-pandai keluar tanpa bagi tahu aku ni?” rungut dia dengan mata sudah mencanak ke katil kayu jati depannya.
Katil itu tidak pernah menjadi tempat lena Azreen sejak gadis itu menjadi penghuni bilik tidurnya. Isterinya itu lebih sudi melelapkan mata di sofa atau atas comforter biarpun sudah selalu didesak Tengku Aamir Budriez. Jangan kata mendengar, dimarah-marahkan pula suaminya itu hingga akhirnya Tengku Aamir Budriez beralah juga. Sedar dia tidak mampu melentur kedegilan Azreen dalam sekelip mata.
“Hai… Tak ada pulak dia kat sini. Mana pulak perginya isteri aku ni?” Tengku Aamir Budriez kembali mengayun kaki. Dia ingin ke balkoni bilik, namun tak jadi apabila terpandang kelibat Azreen di situ.
“Hmm… kat sini rupanya isteri aku ni ya? Tak habis-habis dengan majalah. Gila membaca betul isteri aku ni,” puji Tengku Aamir Budriez.
Sambil menyandar tubuh di dada buaian, Azreen kelihatan ralit membaca di tangannya. Gadis itu bagai hilang dalam dunianya sendiri. Satu tabiat Azreen yang diketahuinya sejak mereka bergelar suami isteri. Gila membaca tak kira masa dan tempat. Malah, kerana kegilaan itu jugalah Azreen seringkali membaca dalam suasana samar-samar meski seringkali dilarang.
Bukan dia malu jika isterinya bermata rabun atau bermata empat. Tapi, dia mahu Azreen menjaga kesihatan diri. Selain merosakkan mata, membaca dalam suasana samar-samar juga mampu merencatkan pemikiran seseorang serta memberi impak negatif pada saraf-saraf di bahagian lain dalam tubuh. Itu fakta yang pernah dibacanya suatu ketika dulu. Kerana itu dia mahu Azreen mengamalkan gaya hidup Islam yang menuntut umatnya menjaga kesihatan walau Tengku Aamir Budriez sendiri hakikatnya jarang-jarang mengambil endah bab agama dalam sesetengah perkara.
Tapi, sebagaimana biasa, Azreen tidak pernahnya mahu mendengar kata. Malah, Azreen semakin degil melakukannya. Mahu tak mahu Tengku Aamir Budriez terpaksa mengalah. Bukan takut, tapi sedaya upaya dia cuba mengelak daripada terus-terusan bertengkar dengan Azreen.
Lambat-lambat Tengku Aamir Budriez menyandar tubuh ke pintu balkoni. Dia tidak peduli tubuhnya yang dibaluti sehelai tee putih dan seluar khaki hitam separas lutut ditampar-tampar angin petang. Dia hanya mengikut rentak hatinya, mengambil peluang itu untuk menatap Azreen sepuas-puasnya. Selama mereka bersama, jarang-jarang Azreen berada dekat-dekat dengannya melainkan secara tidak sengaja atau terpaksa. Isterinya itu lebih suka duduk bersendirian dan seboleh mungkin cuba menjarakkan diri daripadanya.
“Cantik isteri aku ni. Kulit cerah bersih, penampilan pun sangat-sangat dijaganya. Kemas aje selalu. Senang hati aku jadinya. Sekurang-kurangnya kami masih ada persamaan. Taklah susah untuk aku biasakan diri dengan dia sepanjang perkahwinan kami ni.” Tanpa sedar Tengku Aamir Budriez bercakap sendiri.
“Tapi, tulah, dia jaga sangat aurat dia dengan aku. Apa dia tak tahu ke antara kami memang tak ada batas aurat? Ke dia buat-buat tak tahu? Dia memang tak bagi aku tengok agaknya. Tapi, kalau aku tak tengok dia, aku nak tengok siapa lagi? Takkan nak tengok perempuan lain pulak kut? Hisy… kedekut betul isteri aku.” Dia merungut pula sebelum tersenyum semula.
“Hmm… bertuah aku dapat kahwin dengan Azreen. Macam dapat kahwin dengan Angelina Jolie. Cuma isteri aku ni taklah seksi macam Angelina Jolie original tu. Tapi, harap-harap kalau dia pakai seksi pun biarlah depan aku aje, bukan depan lelaki lain. Mahu mengamuk aku nanti. Siapa tak marah kalau isteri sendiri tayang tubuh pada lelaki lain? Lainlah kalau dia tayang kat aku, confirm selamat kami berdua nanti.” Otak Tengku Aaamir Budriez sudah mula melalut.
Tersengih-sengih dia mengangankan perkara yang entah bila boleh menjadi kenyataan. Malah, tidak mustahil takkan berlaku sampai bila-bila. Dalam keadaan dia dan Azreen yang jarang-jarang bertegur sapa apalagi berbual-bual mesra, walau sudah dua bulan bergelar suami isteri, memang tak mustahil semua itu takkan pernah berlaku dalam rumah tangga mereka. Melainkan jika ada keajaiban tiba-tiba muncul untuk membantu. Itu jika ada. Kalau tak ada? Beginilah mereka sampai bila-bila pun. Lain-lain arah hidupnya. Mengingat itu dia mengeluh pula.
“Bukankah bagus kalau hidup aku dan Azreen sama saja seperti suami isteri lain? Boleh berkongsi apa saja. Sama-sama melalui susah senang hidup. Ini lain pula jadinya. Seorang kat barat, seorang lagi kat timur. Entah bila nak berbaik pun tak tahulah, walhal dah dua bulan kami hidup bersama.” Keluhannya terlepas semula.
“Tapi, macam mana nak berbaik kalau tiada cinta antara kami? Betul ke aku tak cintakan Azreen? Bukankah itu yang aku doakan siang malam sejak aku menjabat tangan tok kadi hari tu? Kalau betullah aku tak cintakan Azreen, kenapa aku ambil berat sangat tentang dia? Segala tentang Azreen aku nak tahu. Kisah hidup dia, apa yang dia suka, apa yang dia buat, semuanya sekali. Bukan cintakah namanya kalau aku separuh gila risaukan dia kalau dia lambat balik ke rumah setiap hari? Tak cinta lagikah aku kalau kepala aku ni selalu pening memikirkan jalan terbaik untuk merapatkan hubungan kami berdua? Bukan cinta lagikah tu?” Sedar tak sedar monolog Tengku Aamir Budriez semakin berpanjangan. Satu demi satu soalan mula menerjah fikiran.
“Ya Allah… Betulkah aku dah jatuh cinta pada isteriku sendiri? Termakbul sudahkah doa-doaku untuk mencintainya seikhlas hati aku walau kami berkahwin bukan atas kehendak sendiri? Kalau betul, aku amat-amat bersyukur kepada-Mu, ya Allah. Semoga rasa cinta ini akan terus kekal berada di hatiku sampai ke akhir hayatku khas buat isteriku seorang,” doa Tengku Aamir Budriez sambil meraup perlahan wajahnya.
“Ya Allah… Apa yang harus aku lakukan sekarang supaya Azreen juga merasakan apa yang aku rasa? Aku ingin bahagiakan dia dunia akhirat, aku ingin jauhkan dia daripada segala bahaya, aku ingin melihat dia tersenyum gembira sepanjang masa dan aku mahu dia tahu aku mencintainya kerana Engkau yang meletakkan rasa cinta itu di hatiku dan aku merelakan kehadirannya, ya Allah. Aku ingin Azreen jugak mencintai aku sepertimana aku cintakan dia sepenuh hatiku,” rintihnya penuh harap.
“Tapi, mahukah Azreen mencintai aku? Sedangkan seminggu selepas kami kahwin baru dia sudi tinggal di sini, mahu ke dia hidup dengan aku di Teratak Indah ni sepanjang hayat dia? Ke… dia sudah ada pilihan lain?” Soalan demi soalan mula menerpa minda.
Tak menunggu lama mata Tengku Aamir Budriez kembali mencari kelibat Azreen. Ingin mencari jawapan walau sekadar dengan meneliti fizikal isterinya semata-mata. Namun, lain pula kata hati dan akalnya tatkala wajah isterinya ditatap semula.
“Rasanya, akulah suami yang paling rugi dalam dunia ni. Nama saja ada isteri seiras Angelina Jolie, body pulak ala-ala Naomi Campbell aje, tapi masam mukanya… Ya Rabbi, mengalahkan buah asam. Agak-agaknya kalau nak dibandingkan dengan kuah ikan masak asam buatan bonda aku tu, lagi masam rasanya muka isteri aku ni. Patutlah tak ada lelaki yang berkenan. Tapi, elok jugak kalau dia tak suka senyum. Tak adalah orang perasan isteri aku tu cantik orangnya. Kalau nampak cantik sangat pun payah jugak. Ramai pulak yang cuba nak masuk jarum. Hidup aku jugak yang jadi tak tentu hala nanti. Siang malam tak senang duduk, risau pasal dia aje.” Dia mengangguk-angguk. Setuju dengan kata-kata sendiri.
Lagaknya macam orang kurang akal saja. Bercakap seorang diri, tapi dia peduli apa? Diri dia, suka hati dialah nak buat apa pun! Mata pula tetap tunak menatap Azreen yang masih leka dengan dunianya hingga langsung tidak peduli keadaan sekelilingnya waktu ini. Betul gila membaca isteri aku ni. Punya lama aku tercongok sekodeng dia kat sini, boleh pulak dia tak sedar langsung. Agak-agaknya dia sedar tak kalau aku duduk dekat-dekat dia? Lagi dekat daripada sekarang ke? Rapat-rapat pun okey jugak, sayang! Otak Tengku Aamir Budriez sudah membayang yang bukan-bukan. Dia tersengih semula. Nakal!
Uhuk! Uhuk! Uhuk!
Tengku Aamir Budriez terngadah apabila Azreen terbatuk-batuk kecil. Dia menayang muka selamba apabila pandangan Azreen sudah terkalih kepadanya. Baru tersedar dengan kewujudan lelaki itu di situ.
“Apa tengok-tengok? Dah tak ada benda lain boleh ditengok ke, hah, sampai saya pulak yang Tengku nak tengok?” Garang Azreen bertanya. Dia merengus marah.
Tak suka sungguh dia dengan pandangan lelaki itu saat ini. Penuh makna tersirat dan sebagai wanita, dia sangat memahami makna pandangan itu walau dia kurang pasti telahannya benar ataupun sebaliknya. Dia menjeling tajam sebelum kembali menatap majalah di tangan.
Dah nama pun lelaki, mana ada yang tak gatal. Tambah-tambah jenis lelaki bangsa buaya tembaga macam Tengku Aamir Budriez ni. Bukan saja gatal, miang, biang keladi, rebung buluh, semuanya ada! Gasaklah dengan pencuci cap apa pun, confirm takkan hilang. Tabiat semula jadilah katakan, mana boleh hilang begitu aje! kutuk hati Azreen cukup-cukup.
“Kenapa? Bukannya berdosa pun abang tengok isteri abang lama-lama. Dapat pahala lagi adalah,” jawab Tengku Aamir Budriez selamba.
Dia tetap tegar bersandar tubuh di tempatnya sejak tadi. Dia tidak malu membahasakan dirinya abang walau Azreen sejak hari pertama bernikah tetap juga memanggilnya dengan nama Tengku hingga ke hari ini. Usah ditanya kenapa dia tidak melarang. Sungguh, dia benar-benar mahu membina mahligai bahagia bersama isterinya. Walau dia tidak tahu latar belakang Azreen, begitu juga Azreen, namun dia sudah tekad.
Cukuplah sekali dia melafaz akad nikah di depan tuan kadi walau dia mampu memenuhi kuota yang tersedia dalam Islam bagi setiap lelaki. Dia pula tidak pernah terkecuali daripada berada dalam senarai lelaki sempurna di mata mereka yang bergelar Hawa. Cukup sempurna hingga digelar kasanova, playboy dan gelaran seumpamanya gara-gara tingkahnya yang gemar bertukar-tukar pasangan walau dia tidak pernah meminta dilabel sebegitu oleh sesiapa.
Tapi, itu dulu. Sebelum kejadian yang memalukan dia dan Azreen berlaku dan sekarang dia hanya mahu menyimpan gelaran itu dalam lipatan sejarah hidupnya. Tidak pedulilah dia dan Azreen saling mencintai ataupun sebaliknya, dia yakin dan tetap akan yakin. Dia, Tengku Aamir Budriez Tengku Baharuddin ditakdirkan untuk hidup bersama Nur Azreen Aryanna Latiff. Noktah.
Azreen tidak menyahut. Malas bersuara kerana dia tahu, sekali dia membuka mulut lelaki itu akan terus bertanya dan bertanya. Sedangkan Azreen tak suka mewujudkan perbualan antara mereka. Dingin, itu yang terbaik buat mereka. Dia terus mengubah kedudukan. Duduk membelakangi lelaki itu dengan mata kembali terlekap pada majalah.

Perlahan-lahan Tengku Aamir Budriez melepas keluhan. Kesal bercampur hampa melihat reaksi dingin beku Azreen. Ingin dipaksa, risau meletus perang pula. Lalu lambat-lmbat dia kembali ke ruang kerja dengan hati yang sebal. 

No comments:

Post a Comment