Followers

Tuesday, 9 September 2014

ISTERIKU HATI BATU - BAB 7



7
“Hai, sayang…”
Tengku Aamir Budriez tersentak. Terlepas kunci keretanya. Cepat-cepat dia mengutip sebelum menegak tubuh. Terluah rengusannya sebaik terpandang wajah itu. Mana tidaknya, ke mana saja dia pergi wajah itu juga yang ditemuinya walau dia berusaha mengelak sejauh boleh. Sekarang dia terpaksa menghadap wajah itu lagi walau hati sudah menyumpah-nyumpah benci.
“Ada apa kau cari aku?” Mahu tak mahu Tengku Aamir Budriez bertanya juga walau jelas dia malas melayan kehadiran wanita itu. Tidak mahu dicop sombong. Apatah lagi mereka mempunyai pertalian darah.
“Hai, Aamir. You sihat?” soal Tengku Suraya tersenyum manja. Girang hatinya dapat bersua dengan lelaki buruannya.
Tengku Suraya tahu dia takkan dilayan mesra. Tapi, dia tetap tidak malu menyua muka. Manalah tahu, untung nasibnya lelaki itu akan kembali menjadi haknya seperti dulu. Sebab itulah dia takkan letih mengejar biar apa pun orang kata. Pedulikan!
“Aku sihat macam biasa, tapi bila tengok aje muka kau, sakit terus hati aku. Sakit sangat-sangat kau tahu!” Kasar jawapan Tengku Aamir Budriez. Namun, Tengku Suraya tetap tersenyum-senyum.
Muka cap tembok betullah dia ni! Hati Tengku Aamir Budriez sudah memaki-maki.
“You ni kan, Aamir, tak baik tahu cakap macam tu kat I. I tahulah I pernah lukakan hati you, tapi janganlah you layan I macam ni sekali. Apa salahnya kalau you bagi peluang sekali lagi pada I? I janji I akan berubah demi you,” pujuk Tengku Suraya. Dia mengangkat tangan ala-ala orang mengangkat sumpah. Janji katak!
Dia cuba mencapai jari-jemari lelaki itu. Namun, Tengku Aamir Budriez pantas menepis. Benci.
“Peluang apa pulak yang kau merepek ni, Yaya? Peluang business? Huh. Sejak bila kau pandai buat business ni? Kalau nak bisnes jual tubuh, I’m sorry. Syarikat aku tak pernah ambil projek buat kerja-kerja haram macam tu,” sindir Tengku Aamir Budriez selamba.
“Hisy! You cakap apa ni, Aamir? Tak baik tau you cakap macam tu kat I. Tahulah I ni tak pandai buat business macam you. Tapi, you berilah peluang pada I untuk I berubah. I janji, Aamir, I sanggup lakukan apa saja untuk you. Apa saja, sayang.” Tengku Suraya masih tak malu merengek-rengek. Dia cuba menyentuh lengan lelaki itu pula. Namun, cepat saja Tengku Aamir Budriez menepis.
“Huh, apa saja kau sanggup lakukan? Hebat kau, Yaya. Dah macam Power Rangers aje kau ya, sanggup buat apa saja demi menyelamatkan dunia kau,” sindir Tengku Aamir Budriez.
“Patutlah kau sanggup gadai maruah sendiri demi mendapat apa yang kau nak. Sorrylah, Yaya, aku tak berminat nak bagi apa yang kau nak dan aku takkan bagi pun sampai bila-bila. Kau carilah ajelah lelaki lain yang sangat-sangat berminat dengan kau. By the way, balik nanti kau pergi cek sama ada tangan kau tu sihat ke tak sebab setahu aku, keturunan kita tak ada yang sakit tangan macam kau tu. Suka meraba sampai tak tahu nak beza antara yang halal dengan tak,” perli Tengku Aamir Budriez. Kemudian cepat-cepat dia berlalu pergi. Membuang masa saja melayan wanita itu lama-lama. Tak ada faedah!
“Hisy! Tak guna punya jantan! Boleh pulak dia sindir aku ya?” marah Tengku Suraya mengetap bibir penuh geram.
Rakus matanya menatap Tengku Aamir Budreiz berlalu masuk ke bangunan syarikat bersama seorang klien yang baru tiba di hadapan bangunan syarikat lelaki itu. Langsung tidak menoleh kepadanya, walau sekali. Menambahkan rasa sakit di hati Tengku Suraya. Tak guna betul!
“Kau ingat kau boleh lepas daripada aku? Huh! Ini Tengku Suraya lah. Selagi aku tak dapat kau, selagi itulah aku akan kejar. Jangan kau ingat kau dah jadi hak perempuan lain, aku kau boleh tolak ke tepi. Tak semudah itu, Tengku Aamir Budriez. Tunggulah, akan sampai jugak masa aku nanti,” bisik Tengku Suraya beremosi, penuh dendam.

“Hei… dia ni. Tak rasa lenguh ke jari-jemari tu menaip mesej kat aku selalu? Sekali-sekala hantar mesej tu okey lagilah. Ni setiap jam! Siapa boleh terima? Badak yang tengah berendam pun naik angin kalau tiap-tiap hari ni macam ni,” rengus Azreen. Dia terus mencampakkan telefon bimbitnya ke sisi meja.
“Ingat aku ni budak-budak kecil ke? Tak tahu nak balik ke rumah sendiri? Aku tahulah, buaya tembaga oi. Balik rumah awal-awal pun bukan ada faedah. Balik-balik, gaduh dengan saudara-mara kau. Tak pun menghadap muka toya kau tu. Ingat aku suka? Meluat adalah!” rengus Azreen lagi dengan bibir sudah tercebik-cebik. Bercakap bagai Tengku Aamir Budriez berada di depan matanya sekarang.
Walhal dia hanya seorang diri di situ. Di bilik pejabatnya. Waktu pejabat telah lama berlalu, hampir dua jam lalu. Namun, Azreen tetap tega berada di ruang sepinya. Bersendirian memikirkan keadaan hidup yang ternyata tidak sama lagi coraknya berbanding masa lalu. Penuh dengan kesukaran!
“Kan bagus kalau nenek masih ada. Hidup aku pun tentu takkan jadi begini. Malah, mungkin lebih baik daripada apa yang aku jangka. Tapi, siapa aku nak melawan kuasa Allah Taala? Dia sudah tetapkan perjalanan hidup aku macam ni. Nak tak nak, aku kena harunginya jugak, walau sesukar mana pun,” keluh Azreen tiba-tiba.
Potret seorang wanita tua yang ada di tepi meja kerjanya dicapai. Lalu gambar yang sudah kekuning-kuningan ditelan masa itu diusap-usap perlahan.
“Nek… kalaulah masa dulu boleh dikembalikan semula, Reen nak hidup dengan nenek seperti dulu. Reen nak belajar membaca al-Quran seperti yang nenek ajar setiap malam. Reen nak belajar memasak dengan nenek seperti yang kita berdua buat setiap hari. Reen nak tolong nenek mengemas rumah, menyapu halaman dan tolong kerja-kerja nenek di kebun. Reen nak buat segala-galanya, nek. Tapi, Reen sedar, semua tu takkan berlaku semula. Semua tu dah lenyap daripada hidup Reen. Nenek sendiri pun dah tinggalkan Reen selamanya. Reen sebatang kara dalam dunia ni, nek. Reen hanya seorang diri…” Tanpa sedar air mata Azreen menitik ke pipi. Dikesatnya perlahan. Sayu dengan kata-kata sendiri.
“Reen selalu ingat pesan nenek supaya Reen kuat dan tabah hadapi semua cabaran hidup. Reen pegang pesanan tu, nek, sampailah sekarang. Kerana pesanan itulah Reen kuat pertahankan diri Reen daripada apa juga yang cabaran yang datang, nek. Reen tabah lalui kehidupan Reen walau Reen sedar, terlalu banyak liku yang perlu Reen lalui. Sekarang ni pun Reen sedang menjalani ujian Allah, nek, tapi Reen takkan mengalah. Reen akan pastikan diri Reen mampu atasi semuanya selagi Reen terdaya, nek,” suaranya lagi dengan mata tidak lepas-lepas daripada menatap potret kecil itu. Bagai wanita tua di dalam potret itu mampu mendengar kata-katanya.
Lalu Azreen tenggelam dalam kenangannya buat beberapa lama. Potret di tangan dipeluk erat-erat, melepas rindu kepada nenek yang telah lama pergi.
Tit! Tit! Tit!
Azreen tersentak kecil. Dia mengeluh semula bila telefon bimbitnya berbunyi lagi. Dia merengus semula bila telefon bimbitnya berbunyi semula. Kali ini lebih nyaring. Menandakan ada panggilan yang harus dijawab. Malas menyambut, Azreen terus mematikan telefon bimbitnya. Puas hati! Dia bergegas bangun, menapak keluar menuju ke bawah bangunan. Sampai di lobi, Azreen bergegas ke tempat letak kereta. Dalam kepala, ligat akalnya mencari tempat yang sesuai untuknya melepak sebelum balik ke Teratak Indah malam nanti.
“Argh… susah-susah sangat, aku lepak kat masjid ajelah. Sekali-sekala dengar orang berceramah okey jugak. Ilmu dapat, pahala pun dapat,” putusnya malas sudah memeningkan kepala.
Azreen baru saja ingin membuka pintu kereta bila tiba-tiba seseorang cuba menarik lengannya. Azreen terkejut, namun sepantas kilat dia memulas lengan lelaki bertopeng hitam itu. Lelaki itu terjerit sakit. Dia cuba mencapai lengan kiri Azreen, namun Azreen lebih cepat bertindak. Disepaknya celah kelangkang lelaki itu sebelum ditendang perutnya. Dalam keadaan senak, lelaki itu jatuh terlentang ke tanah. Dia berusaha bangun, namun tidak sempat bila Azreen terus memijak-mijak pahanya. Lelaki itu terjerit semula. Botol kaca di tangan lelaki itu terlepas, airnya tumpah. Berbuih-buih dan berbau masam. Azreen terkedu sesaat.
“Oh… Kau cuba nak simbah asid kat muka aku ya? Siapa yang upah kau, hah? Cakap kat aku!” tengking Azreen apabila mengetahui isi botol kecil itu. Dia masih tidak melepaskan pegangannya terhadap lelaki berkulit gelap itu. Dipijak-pijak perut lelaki itu pula bila lelaki itu tidak menyahut. Lelaki itu menjerit lagi.
“Aku tak tahu! Aku tak tahu!” balas lelaki itu kasar.
Dia menolak keras kaki Azreen yang masih mendarat di perutnya, membuatkan Azreen hilang imbangan. Hampir saja Azreen tertiarap ke tanah jika dia tidak cepat-cepat memegang but keretanya. Ikutkan hati, mahu Azreen mengejar, namun dia hanya memandang lelaki itu bangun dan melarikan diri. Untuk apa membuang masa mengejar seseorang yang sudah dikenali kelibatnya? Apatah lagi tenaga Azreen sendiri hanya tinggal sisa-sisa saja ketika ini. Dilepas panjang nafasnya.
“Tak guna punya Tengku Suraya. Kau ingat kau selamat ke main taktik kotor macam ni? Nak simbah asid kat aku konon. Ingat aku takut ke? Berani kerana benarlah, wei!” marah Azreen seolah-olah Tengku Suraya berada di depannya sekarang.
Azreen tidak menuduh membabi buta kerana dia sangat-sangat yakin. Semua itu adalah angkara Tengku Suraya walau lelaki upahan gadis itu tidak menyatakannya. Selancang mana pun mulut Azreen, belum pernah ada yang berani melakukan perkara-perkara sebegitu kepadanya. Jika ada pun, hanya dengan cacian dan makian. Itu pun Azreen sudah lali mendengarnya.
“Nampak sangat bekas tunang suami aku tu kurang cerdik orangnya. Lelaki punya pasal, sanggup nak tanggung dosa percuma. Bodoh betul!” kutuk Azreen sebelum membolos diri ke dalam perut kereta. Membiarkan perkara itu lenyap sendiri dari ruang kepalanya tak lama kemudian.

“Bodoh! Perkara senang macam tu pun kau tak boleh buat ke, hah? Aku suruh kau cederakan dia, bukannya dia yang cederakan kau! Kenapalah kau bodoh sangat, hah? Lembap!” jerkah Tengku Suraya marah. Ditunjal kepala lelaki upahannya itu beberapa kali. Mendidih sungguh marahnya apabila mendengar perkhabaran yang disampaikan sebentar tadi. Punah segala rancangannya. Hancur lebur!
“Minta maaf, bos. Saya dah cuba, tapi perempuan tu lagi cepat bertindak. Dahlah tu, dia pandai melawan. Mungkin dia ada ilmu persilatan kut.” Takut-takut dia membalas pandangan menyinga Tengku Suraya.
Melihat pada saiz tubuhnya yang dua kali ganda lebih besar daripada gadis itu, bila-bila masa dia boleh membalas tindakan kurang ajar Tengku Suraya terhadapnya. Namun, dia sedar, wanita itu jauh lebih berkuasa daripadanya. Apatah lagi bila terpandang pistol yang berada di dalam genggaman gadis itu. Pistol itu tidak pernah berada jauh daripada tuannya.
“Bodoh! Dia ada silat ke, kungfu ke, tae kwan do sekalipun, aku peduli apa? Kau dah gagal jalankan tanggungjawab kau dan sekarang, kau bagi tahu aku, apa yang kau nak aku buat? Bunuh kau dengan pistol ni atau kau nak aku kerat-kerat badan kau bagi anjing makan?” jerkah Tengku Suraya sudah menghala muncung pistol tepat ke kepala lelaki itu.
“Err… jangan bunuh saya, bos, jangan. Tolong bagi satu lagi peluang pada saya. Saya janji, kali ni saya akan lakukannya dengan baik. Saya janji, bos. Saya janji! Tolong jangan bunuh saya! Tolong…” rayu lelaki itu terus melutut di depan Tengku Suraya. Gadis itu mencebik.
“Huh, tahu pun takut!” Senyum Tengku Suraya, sinis. Lalu pistol di tangan dihala ke bawah semula.
“Baik. Aku bagi kau peluang sekali lagi, tapi ingat. Kalau gagal jugak kali ini, anggap saja neraka dah panggil kau ke dasar perutnya!” ugut Tengku Suraya bengis.
“Baik, bos. Bos bagi saja arahan, saya akan laksanakannya sebaik mungkin. Saya janji, bos,” ucap lelaki itu terketar-ketar. Dia tetap menekur muka ke lantai. Takut jika Tengku Suraya benar-benar mengotakan kata-katanya. Dia sudah lama berkhidmat dengan gadis liar itu dan setiap tingkah dan kata-kata gadis itu sudah dihafalnya.
“Bagus! Kalau macam tu, aku nak kau buat sesuatu dan pastikan kali ini kau berjaya lakukannya.” Suara Tengku Suraya tetap tegang.
“Apa dia, bos?” soal lelaki itu memandang Tengku Suraya.

Gadis itu sudah tersenyum, penuh makna. 

No comments:

Post a Comment