9
“Sorang saja, bonda?”
Perhatian Datin Badriah teralih dari kotak
televisyen. Tersungging senyumnya tatkala terpandang Tengku Aamir Budriez
menapak turun dari tingkat atas rumah.
“Mana yang lain? Tak nampak bayang pun?” tanya Tengku Aamir Budriez lagi. Dia terus merebah
tubuh di sisi wanita kesayangannya.
“Khalid dah balik. Ayahanda Wahid suami
isteri ke majlis keraian kawan dia orang. Hana dah keluar dengan suami dan
anak-anaknya. Dia orang makan kat luar malam ni. Hani dan suaminya pulak dah
bawa balik anak-anak dia orang ke rumah mertuanya petang tadi sebab esok lusa
keluarga mertua dia nak buat kenduri kesyukuran. Nanti kita pergilah ya?”
“Dia orang jemput kita sekali ke kenduri tu?”
“Dah nama pun keluarga, mestilah dia orang
jemput kita jugak. Cuma lewat sikitlah bonda pergi kenduri dia orang tu nanti.
Ada perkara lain yang bonda nak selesaikan sehari dua ni.”
Tengku Aamir Budriez hanya mengangguk.
Pandangannya sudah terbenam di kotak televisyen ketika ini.
“Aam, kalau bonda cakap sesuatu, kamu jangan
kecil hati ya?” Datin Badriah bersuara semula selepas itu.
Memandang wajah tenang Tengku Aamir Budriez,
Datin Badriah menjadi kasihan. Tidak sanggup pula rasanya dia nak meluah
perkara yang selalu bermain di fikirannya. Tengku Aamir Budriez memang sentiasa
kelihatan tenang, namun sebagai bonda, Datin
Badriah mengerti rasa hati anak tunggalnya itu setiap kali perkara itu
dibangkitkan. Tapi, kepada
siapa lagi yang patut dia suarakan jika bukan kepada
Tengku Aamir Budriez? Walau dia tahu bukan sepenuhnya salah lelaki itu perkara itu wujud dalam
keluarga besar mereka.
Datin Badriah tersentak apabila lengannya diusap-usap lembut.
“Bonda ni kenapa? Kata nak cakap sesuatu. Ni
termenung pulak dia.” Terluah tawa kecil Tengku Aamir Budriez. Tercuit hati
melihat bondanya bagai kehilangan tingkah saat ini. Teragak-agak meluah suara
walau itu yang ingin dilakukan wanita itu tadi.
Datin Badriah tersenyum kelat. Macam
tahu-tahu aje anak aku ni. Malu juga dia ditangkap dalam keadaan begitu walau
riak wajah anaknya hanya biasa-biasa.
“Aam, bonda nak cakap sikit pasal Azreen.” Malas bertarik tali, Datin Badriah berterus terang.
Tengku Aamir tersenyum hambar. Dah agak dah. Tak ada perkara lain bonda nak cakap selain pasal Azreen.
“Kenapa dengan Azreen,
bonda?” Lembut saja Tengku Aamir Budriez bertanya walau hati sudah berkali-kali
mengeluh. Sabar ya, hati, pujuknya diam-diam.
“Bonda minta maaf,
Aam. Bonda tahu, dah banyak sangat keburukan Azreen yang bonda ungkitkan. Tapi, lebih baik bonda berterus
terang daripada bonda diamkan diri. Bukan
bonda tak suka bermenantukan Azreen. Tapi,
kadang-kadang bonda tak sanggup nak berdepan dengan isteri kamu tu. Kita ni
hidup berkeluarga, Aam. Kalau ya pun Azreen tak
suka sanak saudara kita, janganlah ditunjuk-tunjuk sangat rasa tak suka tu.
Paling tidak cubalah senyum sekali-sekala. Sejuk jugak mata memandang pun.
Sebelum keadaan menjadi semakin teruk, kamu tergurlah isteri kamu tu ya, Aam.”
Banyak lagi sebenarnya yang ingin dirungutkan
Datin Badriah, tapi dia memilih untuk berbicara
sampai di situ saja. Dia tidak pernah mengasuh dirinya dan Tengku Aamir Budriez
untuk mencanang keburukan orang lain, apalagi
keburukan ahli keluarga sendiri. Memang kehadiran Azreen dalam keluarga besar
mereka bukan atas kehendaknya walau dia adalah antara yang
bertanggungjawab menyimpul kedua-duanya dalam ikatan perkahwinan.
Bukan menghukum,
tetapi mengajar Azreen dan Tengku Aamir Budreiz
bertanggungjawab atas kesilapan mereka sendiri. Bahkan sampai ke hari ini Datin
Badriah cuba membuka hati untuk menerima Azreen sepenuhnya walau Azreen bagai
tidak sudi menerima keterbukaan itu. Seringkali pula menantunya itu mencalar hati
Datin Badriah hingga kadangkala tercabar juga kesabarannya sebagai sebagai ibu
yang tidak pernah meletakkan syarat-syarat khusus dalam menerima sesiapa saja
pilihan Tengku Aamir Budriez sebagai isteri.
Terkalih arah mata Datin Badriah bila Tengku
Aamir Budriez mengeluh. Tidak panjang, tapi seakan-akan berat untuk diluahkan.
“Aam bukan tak mahu tegur, tapi bonda sendiri pun tahu kan
sikap Azreen. Pantang ditegur, melenting terus.
Jauh sangatlah nak dengar cakap Aamir walau sepatah pun. Kalau sekali-sekala dia begitu boleh lagilah Aamir bersabar.
Tapi, kalau dah selalu, mahu berperang jugak
kami jadinya.” Tanpa segan Tengku Aamir Budriez membuka pekung rumah tangga dia dan Azreen.
Dia dan Datin Badriah, tidak pernah ada
rahsia. Sejak sebelum kehilangan ayahanda tercinta ketika remaja lagi dia sudah
diasuh untuk berkongsi dan meluah rasa dengan bonda tercinta. Apa saja yang
membelenggu minda dan hati, diluahkan saja kepada bondanya yang tak pernah bersikap tertutup
dalam setiap perkara. Meski kadangkala tiada jalan penyelesaiannya, namun hati jarang-jarang tidak berasa tenang. Cukup
dengan pandangan dan nasihat yang diberikan bondanya, hati yang panas membara
pun pasti boleh sedingin air pergunungan selepas itu.
“Isteri kamu tu cantik orangnya, Aam. Sangat cantik
sebenarnya, tapi sayang sungguh
perangainya tu langsung tak cantik. Bahasanya tu, tak pernahnya sedap didengar telinga kita. Muka tak payah katalah, memang
tak pernahnya manis. Tapi, hairannya, dengan
budak-budak dan orang tua tahu pulak dia nak cakap elok-elok. Dengan kita ni
aje yang dibuat macam dirinya tu tunggul kayu. Langsung tak ada perasaan...” Tak jadi Datin Badriah menyambung rungutannya apabila tiba-tiba Azreen muncul di muka pintu yang
sengaja dibuka luas-luas sedari awal malam. Sekadar menjemput masuk angin malam
ke ruang tamu yang sememangnya dijadikan ruang santai buat mereka sekeluarga.
“Lewat Reen balik malam ni. Reen ke mana?”
Lembut saja Tengku Aamir Budriez bertanya walau
telinga dan hati bagai baru dibakar dengan rungutan bondanya. Biar telah lali, tapi sebagai suami, hatinya tetap dicuit sakit bila
buruk isterinya dijaja orang lain meski semua itu bukan rekaan sesiapa.
Azreen tidak menyahut. Dia mahu terus ke
tingkat atas. Tapi, panggilan Tengku Aamir
Budriez kedengaran lagi.
“Azreen, dengar tak abang tanya ni? Reen
pergi mana sampai begini lewat baru balik rumah?” Suara
Tengku Aamir Budriez sudah bertukar tegas. Tercuit juga
sabarnya melihat sikap acuh tak acuh Azreen. Bagai dia bukan siapa-siapa di
mata wanita itu. Sempat matanya mengerling menara jam di sudut ruang. Pukul 11.00
malam.
“Pergi mana
lagi kalau bukan duduk kat pejabat tu.”
Tengku Aamir Budriez merengus kesat. Tak suka
sungguh dia mendengar nada suara Azreen ketika ini. Bukan saja kasar, tapi menyakitkan hati juga. Tanpa lengah dia bangun
mendapatkan Azreen. Isterinya itu hanya membuat muka selamba.
“Kalau betul Reen pergi kerja takkanlah dah
begini lewat baru Reen sampai ke rumah? Apa banyak sangat ke kerja kat pejabat
tu sampai tiap-tiap malam Reen terpaksa balik lewat?”
“Kerja apa yang tak banyak dalam dunia ni, Tengku?”
Tengku Aamir Budriez menghelas nafas pula.
Biar sakit hatinya bertambah-tambah mendengar jawapan sinis itu dia tetap cuba
memujuk hati. Dia tak mahu hati yang sudah membara bertukar menyala-nyala hanya
kerana dia tidak dapat mengawal amarah sendiri.
“Kalau Reen sedar, sejak kita kahwin
sampailah sekarang, tak ada satu malam pun Reen
balik awal ke rumah. Reen tahu tak, abang risau sangat-sangat fikirkan keadaan
Reen kat luar tu. Reen makan apa, dengan siapa, kat mana, buat apa dan
macam-macam lagi yang abang fikirkan. Kalau ia pun
Reen nak balik lewat, bagi tahulah abang. Tak
adalah abang nak pening-pening kepala fikir pasal Reen 24
jam.” Nada suara Tengku Aamir Budriez bertukar rentak. Lembut pula. Sekadar
menunjuk rasa prihatin dan timbang rasanya.
“Ada ke saya suruh Tengku buang masa fikirkan
keadaan saya? Hah? Tak payahlah Tengku nak susah payah nak risaukan saya. Diri
saya, tahulah saya jaga sendiri. Tengku jaga hal Tengku sudah. Tak payah nak
sibuk-sibuk mengambil tahu hal saya pulak.”
“Azreen! Aamir tu suami kamu. Cubalah hormat
sikit bila bercakap dengan dia. Jangan nak bersikap kurang ajar pada suami
sendiri!” Datin Badriah terus menyampuk. Hatinya ikut berang saat ini.
Sudah selalu sangat Azreen bersikap biadab kepada semua
orang dan sebagai mertua, dia tidak pernah menegur kerana tidak mahu
mengeruhkan keadaan. Tapi, tidak malam ini.
Biarpun salah Tengku Aamir Budriez sendiri yang memilih memperisterikan Azreen, tapi sebagai ibu, dia tetap tidak sanggup melihat
maruah anaknya sebagai suami dipijak-pijak isteri sendiri.
“Huh! Tak guna saya cakap elok-elok dengan
orang yang tak reti bahasa macam anak Datin ni. Dah saya kata banyak kerja,
maknanya tak sikitlah kerja yang perlu saya siapkan kat pejabat tu. Itu pun
susah sangat nak faham ke?” bidas Azreen.
Jika kepada
Tengku Aamir Budriez, suami sendiri pun dia tak pernah menyimpan rasa hormat,
apatah lagi kepada Datin Badriah yang bergelar
ibu mertuanya itu. Kirim salam! cemuh hatinya.
“Azreen! Kamu jangan terlalu biadab ya? Buruk mana suami kamu, dia tetap suami kamu
dan sebagai isteri, kamu jangan sesekali cuba menderhaka. Berdosa besar
hukumnya seorang isteri melawan cakap suami. Tak bau syurga kamu nanti tahu!”
Marah sungguh Datin Badriah kepada menantunya
nan satu ini hingga terbata-bata
setiap patah katanya.
“Bukan saya yang biadab,
tapi anak Datin yang kurang ajar. Silap Datin jugak sebab tak pandai
ajar anak sendiri. Kalau betul-betul dia cukup diajar tak adalah dia tak faham
dengan apa yang saya cakapkan?”
“Azreen!”
“Aamir!”
Hampir-hampir saja telapak tangan kasar
Tengku Amir melekap di pipi Azreen jika Datin Badriah tidak turut menjerit
tinggi.
“Jangan,
Aamir! Bukan begitu caranya nak mengajar isteri!” Cepat-cepat Datin Badriah
memeluk Tengku Aamir Budriez. Tubuh sasa itu sudah menggigil seluruh badan.
Nyata marahnya terhadap isteri sudah sampai
ke kemuncak. Apa lagi Datin Badriah mampu lakukan selain mengeratkan pelukan. Dia tidak mahu suasana tegang itu terus keruh
dengan tindakan tidak bijak Tengku Aamir Budriez hanya gara-gara lelaki itu
tidak mampu lagi mengawal suhu kemarahannya.
“Azreen, minta maaf pada suami kamu sekarang.
Cepat!” perintah Datin Badriah kembali menghala mata kepada
menantunya.
Melihat wajah selamba Azreen, mahu saja Datin
Badriah bertanya, daripada apa hati Azreen
diperbuat hingga wanita itu kelihatan langsung tak berperasaan saat ini. Bukan
saja saat ini, bahkan setiap waktu Azreen beriak
begitu. Selamba dan bersahaja.
“Huh!” Sinis
sepatah kata itu terluah dari mulut Azreen sebelum dia berlalu pergi.
Meninggalkan kedua-dua beranak itu mengepung
marah yang pastinya takkan surut dalam tempoh yang singkat. Perlahan-lahan
Tengku Aamir Budriez meraup wajahnya. Sabar yang hilang dibawa arus marah
dipancing kembali dengan ucapan istighfar beberapa kali.
“Maafkan Aam,
bonda. Kerana dosa Aam bonda terpaksa terima Azreen menjadi menantu bonda.
Kerana kesalahan Aam bonda terpaksa tanggung semuanya. Tolong ampunkan Aam, bonda, ampunkan Aam,” pintanya lemah. Tanpa silu
tubuh tua itu dipeluk erat-erat bagai tak ingin dilepas lagi. Biar rasa sakit
di hati tetap tak hilang, tapi Tengku Aamir
Budriez juga tak dapat nafikan, hatinya akan
tenang apabila berada dalam pelukan wanita
kesayangannya itu.
“Jangan minta ampun daripada bonda, Aam. Kamu
tak buat salah apa-apa pada bonda. Dah tertulis dalam takdir Azreen jodoh kamu.
Kamu perlu bentuk dia jadi isteri yang baik kerana itu tanggungjawab dan kewajipan
kamu terhadap dia. Tapi, bukan dengan cara yang
menyakitkan tubuhnya. Ada banyak lagi cara yang boleh kamu gunakan untuk
lembutkan hati dia, Aam,” pujuk Datin Badriah.
Dia mengusap-usap lembut tubuh anaknya.
Tak pernahnya berubah cara pujukannya, sebagaimana anak itu kecil-kecil dulu biar usia
Tengku Aamir Budriez sudah lama melebihi paras 30-an.
Biar hatinya sendiri masih sakit dilapah Azreen sebentar tadi, tapi dia takkan sesekali menambah kesakitan lelaki
itu yang pasti lebih terluka.
“Tapi, Aam dah
putus asa, bonda. Aam dah tak tahu macam mana
caranya nak ubah perangai Azreen tu. Tiga bulan kami kahwin, tiga bulan jugak
Aam cuba bersabar dengan perangainya, tapi
sampai sekarang dia tetap tak berubah. Makin menjadi-jadi adalah,” rungut
Tengku Aamir Budriez. Dalam marah terpujuk juga dia dengan kelembutan kata-kata
bondanya yang tidak jemu-jemu memberi nasihat.
“Aamir, dengar cakap bonda, nak. Walau seburuk mana pun perangai Azreen, kamu
kena terima dia seadanya. Jangan cepat berputus asa hanya kerana kamu gagal
selepas beberapa kali mencuba. Untuk menjadi pemenang, kita tak boleh mendidik
diri kita menjadi pengalah. Tapi, setiap
kekalahan yang kita pernah hadapi, kita perlu jadikannya sebagai pengajaran
untuk meraih kemenangan di depan hari.
“Begitu
jugak caranya kalau kamu nak mengubah Azreen. Kalau baru sekali dua kamu gagal
dan terus mengalah, bila masanya kamu akan dapat mengubah dia? Patutnya kamu
kena lihat semula kegagalan yang kamu lalui tu. Cari sebab yang menggagalkan
usaha kamu. Dalam masa yang sama, jangan lupa berdoa kepada Allah agar usaha
kamu dipermudahkan Dia. Ingat, Aam. Tak ada
kejayaan yang datang bergolek tanpa adanya usaha keras. Jika hati Azreen
dibentuk daripada batu sekalipun, pasti suatu
hari nanti akan terlekuk jugak andai kamu tak jemu menitik air.”
No comments:
Post a Comment