Followers

Tuesday, 9 September 2014

ISTERIKU HATI BATU - BAB 1




1
Bum! Bunyi kuat itu mengejutkan Azreen. Hilang segala lamunannya. Sempat dia mengerling lampu isyarat. Masih merah. Cepat-cepat dia mematikan enjin sebelum tergesa-gesa keluar. Dia langsung ke belakang.
“Hah!” Automatik sepatah kata itu terkeluar dari mulut terlopong Azreen. Terkejut nombor plat keretanya sudah bertaburan di permukaan jalan. Lampu di kiri kanan kereta juga mengalami nasib sama. Hancur!
“Huh!” Itu pula terluah dari mulut Azreen sesaat kemudian. Wajah cemberutnya terus dikalih ke satu arah. Laju-laju langkahnya diayun ke sebuah kereta mewah di belakang keretanya.
Azreen mengetuk-ngetuk cermin gelap kereta yang entah apa jenamanya itu. Azreen sudah tidak ingat dan dia tidak mahu ingat pun tentang itu. Tak ada kena-mengena dengannya pun! Yang kena-mengena dengannya sekarang hanyalah tuan punya kereta mewah itu. Sesedap rasa dia saja melanggar kereta kesayangan Azreen. Apa tak ada kereta lain ke yang boleh dia langgar selain daripada kereta aku kat jalan ni, hah? Kalau tak tahu pandu kereta, elok upah pemandu saja. Tak pun masuk balik bengkel belajar memandu. Susah apa! Apa guna ada kereta mahal-mahal kalau nak pandu kereta pun tak tahu! Hati Azreen sudah membebel sendiri.
Tok! Tok! Tok! Azreen mengetuk cermin kereta itu lagi apabila tiada respons. Lagaknya seperti mengetuk pintu rumah papan saja. Kuat. Tak cukup dengan itu, bumbung kereta juga dijadikan sasaran. Sepuluh saat kemudian cermin kereta Mercedes Benz Coupe itu diturunkan. Satu wajah tersembul di balik cermin hitam berkilat.
“Macam mana encik pandu kereta, hah? Encik ingat jalan raya ni litar lumba Sepang ke? Pandu laju-laju mengalahkan Michael Schumacher aje. Kalau ya pun pun gian nak berlumba, ingat-ingatlah sekeliling sama. Tak pasal-pasal kereta saya jadi mangsa!” jerkah Azreen terus-menerus. Langsung tak memberi peluang untuk lelaki itu bersuara. Menyinga dia kepada empunya kereta yang hanya terkebil-kebil membalas pandangannya.
Jelas riak itu terkejut melihat reaksi Azreen ketika ini. Seumpama singa yang kelaparan.
“Hei, encik! Tak ada lubang telinga ke telinga tu memang tersumbat tak pernah korek? Dengar tak apa yang saya cakapkan ni?” Azreen menaikkan suara apabila tiada sahutan. Tangannya tidak jemu-jemu menepuk-nepuk bumbung kereta itu. Bengang dengan tuan empunya kenderaan yang kelihatannya bagai sudah bertukar rupa. Menjadi patung cendana. Diam seribu bahasa.
Mujur saja hanya kenderaan mereka berdua berada di persimpangan lampu isyarat. Jika tidak, pasti kecoh dengan tontonan dan pekikan hon daripada pemandu-pemandu Malaysia yang rata-ratanya bersikap seperti pelumba kereta handalan. Semuanya mahu cepat sampai ke garisan penamat bagi berebut gelaran pemandu terbaik dunia. Tak tahu nak sabar! Macamlah boleh dapat hadiah kalau sampai awal! Hati Azreen mengutuk pula.
“Hoi, encik!” jerkah Azreen sekuat hati. Sudah berangin satu badan.
Pecah khayalan Tengku Aamir Budriez. Dia terpinga-pinga, namun mata tetap tidak berganjak dari wajah garang itu. Dia bukan terkaku kerana melanggar kereta wanita itu. Tapi, kerana wajah tegang Azreen sama seiras Angelina Jolie, pelakon Hollywood pujaan hatinya sejak remaja. Bukan iras lagi dah ni, tapi klon dia agaknya. Serupa sangat, fikir Tengku Aamir Budriez.
Anggun gadis itu berjilbab labuh berona merah hati. Serona dengan tudung yang terlilit di kepalanya. Wajah gadis itu serius tanpa senyuman. Tapi, tetap kelihatan cantik di mata lelaki Tengku Aamir Budriez. Rasa-rasanya gadis ini jauh lebih cantik berbanding Angelina Jolie asli yang hanya sering ditonton lakonannya di layar perak. Lagi cantik kalau dia tersenyum manis. Boleh cair hati jadinya. Diam-diam Tengku Aamir Budriez membuat tafsiran sendiri.
Bung! Bung! Bung!
Angan-angan Tengku Aamir Budriez hilang semula dek hentakan tangan Azreen ke bumbung keretanya. Kali ini kuat sungguh. Bunyinya seperti nak pecahkan bumbung kereta kesayangannya. Nak melepaskan geram pun ada juga!
“Hoi! Encik ni betul-betul pekak ke, hah?” jerkah Azreen semula.
Sudahlah melanggar keretanya, boleh pula lelaki itu tersenyum-senyum sendiri. Dah serupa seperti kambing jantan mengajak kambing betina mengawan sahaja. Selamba sungguh lelaki bergaya itu merenung lama-lama wajah menyinga Azreen. Bagai ingin menelan Azreen hidup-hidup. Seharusnya Azreen yang membuat riak begitu kerana mangsa kemalangan adalah dia. Tahu tak! Dia!
Ikutkan hati mendidih Azreen, mahu saja dia mengorek keluar kedua-dua biji mata lelaki miang itu. Biar buta seumur hidup! Apa guna ada mata kalau hanya untuk menambah dosa? Apatah lagi tuan punya mata tidak tahu membezakan pandangan dosa dan pahala. Jadi, lebih baik dikorek buang daripada ada. Betul tak? Hati Azreen sudah melalut yang bukan-bukan.
“Minta maaf, saudari. Saya tak sengaja langgar kereta saudari. Tak perasan pulak ada kereta lain kat depan kereta saya tadi.” Untuk kali pertama Tengku Aamir Budriez membuka mulut. Jujur dan kedengaran maco sahaja nada suaranya. Seakan-akan menggoda pun ada.
Memang Tengku Aamir Budriez tidak terperasan kelibat kereta Azreen di jalan lengang itu. Lewat petang begini dia hanya ingin cepat-cepat sampai ke rumah. Dia mahu merehatkan tubuh dan mindanya sesak. Dia mahu melupakan peristiwa menyakitkan yang baru dilaluinya beberapa minit lalu. Peristiwa itu menghuru-harakan hati lelakinya. Hingga tanpa sedar Tengku Aamir Budriez menambah kelajuan kereta hanya kerana mahu melepaskan kemarahan sendiri.
Dan sekarang, inilah akibatnya. Tengku Aamir Budriez tersadai bersama-sama kereta kesayangannya di tengah-tengah jalan setelah menyodok sebuah kereta milik seorang bidadari yang tiba-tiba muncul di depan mata. Garang dan tegang semacam.
Sebaik mungkin Tengku Aamir Budriez cuba memaniskan wajah walau dia tahu dia tidak perlu berbuat demikian. Wajah dan bentuk tubuhnya telah cukup sempurna. Bukan perasan atau berbangga dengan kelebihan diri. Tapi, itulah kenyataannya. Dia lengkap sebagai seorang lelaki maskulin di mata semua, terutama dalam kalangan kaum hawa, walau dia bukanlah dalam kalangan artis popular atau orang ternama.
Cukup dengan lirikan mata dan senyuman semanis menggula, ada saja yang datang menyerah meski Tengku Aamir Budriez tidak pernah meminta. Biar seliar mana pun tingkahnya, menyentuh yang bukan hak adalah mustahil untuk dia lakukan. Dia masih kenal batas-batas kehidupan yang harus dijaga. Bukan sekadar untuk menjaga nama baik dan kedudukan keluarga, sebaliknya Tengku Aamir Budriez masih sedar. Maruah seseorang manusia begitu tinggi nilainya berbanding dengan makhluk-makhluk lain ciptaan Allah di muka bumi ini.
Jika tidak masakan manusia diangkat menjadi khalifah walau hanya untuk membimbing diri sendiri? Jadi, untuk apa dia merendahkan martabat tidak ternilai daripada-Nya itu hanya semata-mata kerana mengikut nafsu yang tidak pernah terpadam keinginannya?
Namun, melihat gadis yang masih mencekak pinggang di depannya ini, Tengku Aamir Budriez tidak berani memberi sebarang jaminan kerana dia yakin tuan punya kereta yang baru dilanggarnya itu bukan gadis sembarangan. Silap tingkah boleh memakan dirinya pula. Tidak perlu diberitahu sesiapa, cukup hanya dengan mendengar volume suara gadis itu ketika ini. Sama saja desibelnya dengan desibel halilintar!
“Hah, macam mana nak perasan kalau biji mata tu melekat kat telefon aje 24 jam! Lain kali, kalau tangan tu dah pegang stereng, nak bawa kereta, silent ajelah apa yang patut. Tak pun off aje terus. Taklah menyusahkan orang!”
Pijar cuping telinga Tengku Aamir Budriez mendengar semburan pedas Azreen. Memang salahnya melanggar kereta Azreen, tapi bukan berpunca daripada telefon bimbitnya. Malah, telefon bimbit Samsung itu langsung tidak disentuhnya sejak tadi. Walau gadjet itu tidak jemu-jemu mengalunkan lagu Eternal Flame nyanyian Michael Learns To Rock, tanda minta diangkat, dia memang benar-benar tidak perasan akan kewujudan kereta Azreen. Itu yang betul.
“Boleh saya bantu encik dan puan? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Seorang lelaki tiba-tiba sudah terpacak di sisi kereta mewah Tengku Aamir Budriez. Tidak pula mereka sedar akan kewujudan lelaki yang segak berpakaian seragam polis trafik di situ. Silih berganti mata lelaki bermisai nipis itu menatap Azreen dan Tengku Aamir Budriez.
“Hah, Encik polis ni pun satu! Boleh pulak encik tanya ada apa-apa yang tak kena. Memang banyak yang tak kena, tahu! Encik ingat kami sedang dating ke kat tengah-tengah jalan ni, hah? Ke mata encik pun ikut sama buta macam mata lelaki ni jugak? Tak nampak ke kereta saya dah kena langgar dengan lelaki yang tak ada mata ni?” jerkah Azreen.
Dia tidak lagi dapat menahan sabarnya. Sudahlah sejak tadi dia cuba menahan marah melayan lelaki yang gayanya kelihatan seperti berdarah keturunan buaya tembaya. Kemudian datang pegawai polis bertanyakan soalan sebodoh itu pula. Memang bengang sungguh Azreen jadinya!
Sesaat dua pegawai polis berpangkat sarjan itu terkulat-kulat. Niatnya ke situ hanya ingin membantu. Itu tanggungjawabnya sebagai penjaga keselamatan negara. Memberi khidmat tak mengira siapa atau di mana juga waktunya. Tidak pula dia menyangka akan disergah oleh seorang gadis yang luarannya kelihatan anggun mempesona.
Mulut Tengku Aamir Budriez terlopong sekejap. Biar betul klon Angelina Jolie ni. Selamba katak dia saja marah-marah pegawai polis! Nak tidur lokap ke apa dia ni? Jangan heret aku sekali sudah! Hatinya sudah berkira-kira sendiri.
Excuse me, saudari. Saya tak buta, okey? Saya ada sepasang mata yang masih sihat walafiat sepertimana mata awak dan mata abang polis ni. Saya boleh lihat lagi semuanya dengan jelas, terang dan nyata. So, jangan sedap-sedap mulut awak aje nak kata saya ni cacat penglihatan. Kan saya dah kata tadi, saya tak perasan kereta awak kat depan kereta saya. Maknanya saya tak sengajalah nak langgar kereta awak. Ada faham ke sekarang?” Tegang saja nada suara Tengku Aamir Budriez walau dia cuba berlagak selamba. Geram sebenarnya melihat tingkah Azreen. Macam perempuan meroyan hilang anak! Harap muka saja cantik, tapi perangai macam orang tak cukup sifat! Hati Tengku Aamir Budriez mula mengutuk.
“Ooo… Awak tak buta ya?” Azreen menayang muka sinis. “Kalau betul awak tak buta, buat apa awak pakai cermin mata gelap masa memandu? Apa tak cukup hitam lagi ke cermin kereta awak ni sampai penglihatan awak tu pun terpaksa dihitamkan jugak? Kalau semuanya dah hitam, dah tentu sangatlah awak tak boleh nampak apa-apa dan bila tak nampak apa-apa, dah tentu jugaklah awak akan langgar segala benda yang ada di depan mata awak. Ada faham atau masih tak faham-faham?”
Hah, ambik kau! Salah sendiri tak nampak, tahu nak salahkan orang lain pula. Dasar jantan bangsa buaya tembaga. Tahu nak kontrol maco saja. Bawa kereta pun nak pakai cermin mata gelap lagi. Macamlah orang lain boleh nampak! Ke keturunan rabun dia ni? Puas hati Azreen dapat menghambur segalanya walau hanya dia seorang yang dapat mendengar.
Berubah riak Tengku Aamir Budriez. Baru terperasan yang dirinya masih belum menanggalkan cermin mata Ray Ban kegemarannya sejak dari tadi. Lalu dengan tingkah selamba, dia menariknya lambat-lambat dari pangkal hidung, walau wajah sudah bertukar merah. Malu dan marah bercampur satu.
“Begini sajalah, puan, encik. Rasanya lebih baik kalau puan dan encik ke balai polis, buat laporan tentang kejadian ini. Tak guna kalau puan dan encik terus bertekak kat sini. Hanya mengganggu laluan trafik saja, walau keadaan masih lengang. Apa pun, sila ubah kenderaan masing-masing ke tempat letak kereta balai sekarang,” arah pegawai polis trafik, segera campur tangan sebelum sempat Tengku Aamir Budriez bersuara balas. Dihala tangan kanannya ke arah kawasan balai polis di kiri mereka.
Azreen dan Tengku Aamir Budriez terlongo. Kemalangan itu bukan saja berlaku di persimpangan lampu isyarat, tapi juga berlaku di hadapan sebuah balai polis yang baru kini disedari kewujudannya. Malah, seluruh isi balai sedang memerhati gelagat mereka berdua ketika ini dari celah-celah pintu pagar balai yang terbuka luas.

Azreen dan Tengku Aamir Budriez mengangguk cepat. Tak guna mereka berdua terus bertekak, apatah lagi ketika berada di kawasan yang tidak sepatutnya dijadikan gelanggang berdebat. Andai tersalah tingkah, bermalam di lokap pula mereka berdua nanti.

2 comments: