Followers

Tuesday, 9 September 2014

ISTERIKU HATI BATU - BAB 3


3
“Hai, Aamir… Orang lain lepas kahwin muka berseri-seri. Maklumlah, pengantin baru. Yang kau pulak muka pucat macam baru kena sergah dek hantu kenapa pulak? Nak kata anak-anak dah berderet macam keretapi, baru dua bulan kau kahwin. Musykil aku,” tegur Tengku Khalid menepuk-nepuk lembut bahu Tengku Aamir Budriez. Lelaki itu merengus halus.
“Kau mana tahu aku punya susah. Esok-esok kau dah kahwin kau tahulah sakit kepala ke tidak jadi suami orang nanti,” sahut Tengku Aamir Budriez menjeling sekilas sepupunya itu.
Tengku Khalid tergelak kecil.
“Alah… come onlah, Aam. Baru aku usik sikit kau dah sentap semacam. Azreen ajar kau ya?” usik Tengku Khalid. Dia terus tertawa besar bila Tengku Aamir Budriez menjeling tajam buat kali kedua. Marahlah tu. Tergeleng kepala Tengku Khalid sejenak. Lucu melihatkan tingkah lelaki itu ketika ini.
“Kau gaduh dengan Reen ya?” Tengku Khalid kembali bertanya. Kali ini serius.
Tengku Aamir Budriez tidak menjawab. Dia hanya mengangguk.
“Kenapa pulak?” soal Tengku Khalid lagi, mahu tahu. Bukan niatnya nak menjaga tepi kain sepupu sendiri. Tapi, antara dia dan Tengku Aamir Budriez memang tidak pernah ada rahsia sejak kecil. Mereka berbeza tingkah dan pemikiran, namun masih tetap sekepala dalam sesetengah perkara.
“Kau ni, Khal, buat-buat tanya pulak. Macmlah kau tak kenal perangai isteri aku tu macam mana. Kalau sehari tak bergaduh dengan aku, memang tak senang hati agaknya dia. Setakat gaduh-gaduh kecil tu, aku boleh pejam mata lagi. Tapi, kalau sampai tahap memaki hamun aku, berangin jugak aku jadinya,” rengus Tengku Aamir Budriez, bengang dengan situasi itu. Sempat dia tersenyum, mengangguk kepada beberapa orang jemaah masjid yang baru melangkah keluar dari ruang solat.
Aiseh! Macam mana pulak aku boleh terlupa kami masih duduk kat dalam masjid ni? Patutlah pak cik-pak cik tu pandang semacam aje kat kami berdua. Bersembang sakan macam melepak kat kedai kopi aje. Tak ada tatasusila langsung!
“Salah kau jugak sebab tak pandai nak ambil hati dia. Cubalah-cubalah kau tegur perangai Azreen tu. Tegur tu pun jangan main sedap mulut kau aje. Gunalah bahasa yang elok-elok. Barulah dia boleh dengar cakap kau,” nasihat Tengku Khalid.
“Kau cakap senanglah sebab bukan kau yang duduk kat tempat aku ni. Cuba kau yang jadi suami Azreen. Barulah kau tahu dunia ni indah ke tidak. Ingat seronok ke dapat isteri biadap macam isteri aku tu? Perangai macam tak pernah masuk sekolah. Langsung tak beradab,” keluh Tengku Aamir Budriez, pening memikirkan masalah sendiri.
Dia kembali melemparkan senyuman tatkala imam masjid melalui tempat mereka berdua duduk bersandar. Walau lelaki tua itu tidak berkata apa-apa, namun sebagai orang yang lebih muda, menghormati yang lebih tua itu amalan mulia. Nanti dikata kurang ajaran pula sedang dia telah diberi didikan secukupnya sejak kecil, terutamanya berkaitan dengan agama. Tapi, kalau dia berkahwin pun disebabkan kerana ditangkap basah, satu hal pula. Sudah cukupkah ajaran agamanya atau masih ada yang terkurang? Fikir-fikirkanlah.
“Beradab ke tidak, itu tanggungjawab kau sebagai untuk bentuk dia jadi isteri solehah. Kau kena ingat. Dari hari pertama kau lafaz akad, segala baik buruk Azreen dah terletak di bahu kau tau. Dah jadi kewajipan kau untuk tegur dia kalau dia buat salah. Soal dia nak ikut ke tidak, tolak ke tepi. Janji kau dah berusaha untuk ubah perangai dia.” Tengku Khalid memberi nasihat bagaikan dia sudah mempunyai pengalaman berumah tangga. Dia sendiri sebenarnya masih bujang teruna sampai ke hari ini. Bukan tidak mahu berkahwin, hatinya yang belum terbuka untuk hidup berpasangan. Itu saja.
“Semua ni berlaku sebab salah aku, Khal. Aku yang gatal-gatal cari penyakit. Suka sangat mainkan hati perempuan. Bila bonda suruh kahwin, aku boleh buat bodoh aje. Konon nak perempuan paling cantik dalam dunialah, serba-serbinya lengkaplah. Sekali dapat isteri, memang cantik habis. Tapi, berbanding perangai dia dengan hantu, perangai hantu lagi cantik!” Tengku Aamir Budriez mengata diri sendiri. Memilih sangat dalam mencari jodoh. Mahu yang manis-manis ala-ala tebu hitam saja. Akhirnya dapat ruas. Padan muka aku!
“Tak baik kau cakap macam tu, Aam. Dah jodoh kau tertulis dengan Azreen. Buruk ke tak, kau kena terima. Tapi, kau pun kenalah berubah jugak. Jangan harap isteri aje baik segala perkara, engkau pulak perangai macam hantu raya,” ujar Tengku Khalid. Sempat lagi dia mengata sepupu lelakinya nan seorang itu.
Bukan dia tidak kenal perangai Tengku Aamir Budriez. Bak kata Azreen, bangsa buaya tembaga! Semua jenis perempuan dilayan Tengku Aamir Budriez, tak kiralah perempuan itu isteri orang ke, tunang orang ke. Janji boleh dibawa ke sana ke mari bila-bila masa saja. Kasanova betul!
“Itu aku tahulah, Khal, masalahnya sekarang, aku tak tahu macam mana nak lembutkan hati batu isteri aku tu. Entah macam mana aku terfikir nak kahwin dengan dia pun tak tahulah aku. Walhal selama ni kami tak pernah kenal pun. Jangankan famili Azreen, Azreen tu pun aku tak pernah tengok. Tahu-tahu aje dia dah jadi isteri aku sekarang.”
“Dah kau tengok dia dengan nafsu, sebab tulah kau terus terima bila pegawai jabatan agama suruh kau orang kahwin. Cuba kalau kau tengok dia melalui mata hati, rasanya sampai sekarang kau masih bergelar bujang idaman Malaysia. Tapi, elok jugaklah kalau kau kahwin dengan Azreen. Sekurang-kurangnya kau sedar diri sikit. Bukan semua perempuan senang nak dicuri hatinya. Tambah-tambah perempuan degil macam isteri kau tu,” tempelak Tengku Khalid meletak seratus peratus kesalahan di bahu lelaki itu biarpun dia sendiri tahu sudah takdir semua itu berlaku. Tapi, bukankah semua itu juga boleh dielak jika kena caranya? Ada akal fikirlah sendiri.
“Habis, kau fikir aku sukalah kena tangkap basah macam tu? Kalau aku tahu aku nak kena kahwin dengan perempuan yang aku tak pernah kenal sepanjang hayat aku ni, tak adanya aku nak pergi rumah dia tau!” marah Tengku Aamir Budriez bercampur kesal dengan apa yang berlaku, walau tidak sepenuhnya.
Sebagai manusia, dia terima segala ketentuan Allah, namun biarlah dengan cara yang sepatutnya. Bukan hingga menjatuhkan maruah diri dan nama baik keluarga. Begitu pun dia sedar. Bukan takdir atau ketentuan Allah yang harus dia persalahkan, tapi dirinya sendiri. Jika dia lebih berhati-hati dan berfikir panjang sebelum membuat apa-apa, pasti kejadian itu tidak akan berlaku. Itu yang dikesalkannya.
“Yalah tu, Aam. Apa pun alasan yang kau bagi, semua tu dah tak ada maknanya lagi. Azreen pun dah sah jadi isteri kau sekarang. Mahu tak mahu, hendak tak hendak, suka tak suka, kau kena belajar terima dia menjadi sebahagian daripada hidup kau. Bukan saja untuk esok lusa, tapi seumur hidup. Dialah isteri, bakal ibu, nenek dan moyang pada anak cucu dan seluruh keturunan kau selepas ni. Dan, insya-Allah, jika ikatan kasih sayang antara kau orang kuat, pasti kau orang bersatu semula di akhirat nanti,” bidas Tengku Khalid. Sekali gus mengunci mulut Tengku Aamir Budriez daripada menjawab.

Dia memicit-micit kepala sendiri sesaat kemudian. Penyakit pening bercampur serabut kembali lagi!

No comments:

Post a Comment