Bab
10
“Bonda
tak tidur lagi?” soal Tengku Iris Dania sebaik ternampak kelibat bondanya di
ruang tamu vila. Tubuh Tengku Aznah dihampiri sebelum dia duduk bersebelahan
dengan wanita itu. Sama-sama menonton di ruang luas itu.
“Nak
tidur apanya? Bonda tertidur lama lepas solat zohor siang tadi. Dah datang
malam, susahlah nak tidur awal.” Tengku Aznah masih leka dengan program
televisyen kesukaannya.
“Shidi
dan anak-anak ke mana? Bonda tak nampak pun dia orang lepas makan malam tadi,”
soal Tengku Aznah kemudian. Baru teringat kepada menantu dan cucu-cucunya.
“Abang
Shidi tengah buat kerja kat dalam bilik bacaan tu. Anak-anak pula dah tidur.
Dia orang penat sangat agaknya sebab petang tadi dia orang ada latihan
ko-kurikulum kat sekolah,” beritahu Tengku Iris Dania.
“Kamu
pulak kenapa tak tidur lagi? Selalunya waktu-waktu begini kamu dah lama belayar
ke alam mimpi.”
Tersengih
Tengku Iris Dania mendengar pertanyaan bondanya.
“Tu
sebab Iris banyak kerja yang perlu dibuat di syarikat tu. Tapi sejak Ishaan
ada, kerja-kerja Iris dah semakin kurang. Is banyak bantu selesaikan
kerja-kerja Iris. Bolehlah Iris rehat puas-puas lepas ni,” beritahu Tengku Iris
Dania, sudah mencipta angan-angan sendiri. Angan-angan yang sejak dulu telah
menjadi impiannya.
“Baguslah
kalau macam tu. Bonda harap kamu dapat beri tunjuk ajar pada adik kamu tu dalam
menguruskan syarikat kita tu.”
Butir
bicara kedua-dua beranak itu sudah beralih arah kini. Begitu juga dengan
pandangan mata masing-masing. Tidak lagi pada tertumpu pada televisyen di depan
mereka. Sebaliknya saling membalas pandangan.
“Pasal
tu, bonda jangan bimbang. Ishaan cekap dalam mengendalikan kerja-kerjanya. Cuma
dia perlukan masa untuk membiasakan diri dengan suasana kerja baru ni. Setakat
ni, belum ada apa-apa masalah yang timbul memandangkan Sarah jugak banyak
membantu Ishaan,” bagi tahu beritahu Tengku Iris Dania.
“Sebut
tentang Sarah, bonda banyak dengar cerita daripada kakitangan syarikat tentang
dia dan Ishaan. Apa betul ke seperti yang dia orang katakan tu?” Daripada
pandangan wanita itu, jelas Tengku Aznah mahu tahu kebenaran tentang perkara
yang baru diungkit keluar dari mulutnya itu.
“Dia
orang kata apa bonda?” soal Tengku Iris Dania, pura-pura tidak tahu.
Padahal
dia sudah terlebih dulu maklum. Bukankah dia Pengarah Urusan Seri Jaya Holding
Berhad? Kalau dia sebagai ketua syarikat tidak tahu apa-apa tentang kegiatan
yang berlaku di dalam organisasi sendiri, baik dia letak jawatan sahaja.
Biarpun perkara yang berada dalam pengetahuannya itu hanyalah perkara
remeh-temeh.
“Bonda
dengar-dengar, ada orang kata Sarah cuba pikat Ishaan. Tapi bonda tak percaya
langsung dengan cerita karut tu. Bonda kenal Sarah bukan sehari dua. Sejak dia
berkawan dengan kamu di sekolah menengah lagi. Dia pun dah macam anak bonda
sendiri pada bonda. Cuma bonda nak tahu, kenapa khabar-khabar angin macam ni
boleh tersebar dalam syarikat kita? Apa pulak kata orang luar kalau
khabar-khabar buruk begini sampai ke pengetahuan mereka?” Tegas Tengku Aznah
bersuara.
Jelas
dia tidak senang dengan khabar yang sudah sampai ke pendengarannya itu. Biarpun
dia sudah lama menyerahkan tampuk pemerintahan syarikat kepada Tengku Iris
Dania. Tidak bermakna Tengku Aznah akan terlepas pandang dengan semua perkara
yang berlaku di syarikat hasil titik peluh dia dan arwah suaminya itu. Sekali-sekala
Tengku Aznah akan turut ikut masuk campur dalam sesetengah perkara bila
dirasakan perlu.
“Semua
cerita tu memang tak betul bonda. Biasalah pekerja-pekerja kita tu. Ada aje tak
senang duduk melihat Ishaan dan Sarah rapat semacam. Padahal dia orang tak
tahu. Ishaan dan Sarah tu memang dah lama kenal. Dah macam adik-beradik pun.
Tambahan pulak Sarah dah jadi setiausaha Ishaan sekarang. Lagilah masing-masing
bengkak hati tengok Ishaan usung Sarah ke sana sini. Tapi itu kan dah jadi
tugas Sarah sebagai setiausaha. Selama dia jadi setiausaha Iris pun, dia buat
perkara yang sama jugak. Dia orang tu saja yang sengaja nak buruk-burukkan nama
Sarah.”
Tengku
Iris Dania tak bermaksud mahu menangkan Sarah. Dia juga seperti Tengku Aznah,
cukup kenal dengan diri gadis itu. Sarah nak menggoda Ishaan? Dunia bertukar
jadi empat segi pun belum tentu Sarah akan berbuat demikian. Tengku Iris Dania
sangat pasti tentang itu.
“Itu
bonda pun tahu, tapi bonda tak suka bila semua ni terjadi. Kalau boleh, bonda
tak mahu nama keluarga kita busuk gara-gara perkara yang tak masuk akal ni.
Kalau boleh...”
“Apa
yang tak masuk akalnya bonda?” sampuk Tengku Ishaan Danish.
Tiba-tiba
saja lelaki itu sudah terpacak di depan muka pintu utama vila keluarganya.
Tanpa dipelawa, lelaki itu menapak masuk. Lantas duduk menyandar di sofa seraya
melepas lelah. Penat setelah seharian menghabiskan masa di luar demi
menguruskan syarikat yang semakin berkembang pesat.
“Kamu
ni dari mana Is? Dah hampir tengah malam begini baru balik,” tegur Tengku
Aznah. Lama matanya memandang anak lelakinya yang sudah tersandar lemah di
kepala sofa. Jelas lelaki itu keletihan.
Begitu
pun, haruman minyak wangi lelaki itu masih mampu dihidu hidung Tengku Aznah.
Tengku Ishaan Danish dan penampilan kemasnya, sememangnya tidak boleh
dipisahkan sejak lelaki itu melanjutkan pelajaran ke England tujuh tahun lalu.
Sesuatu yang luar biasa di mata Tengku Aznah dan Tengku Iris Dania pada
mulanya. Kini mereka sudah lali dengan keadaan itu.
“Pergi
mana lagi bonda kalau bukan jumpa klien syarikat? Is ada perjumpaan dengan dia
orang di Shah Alam tadi,” beritahu Tengku Ishaan Danish.
“Kamu
pergi seorang?” soal Tengku Iris Dania pula. Matanya ikut memandang Tengku
Ishaan Danish yang menggeleng perlahan.
“Is
mana boleh pergi mana-mana tanpa setiausaha Is tu kak. Kalau bukan dia yang nak
temankan Is, siapa lagi,” sahut Tengku Ishaan Danish sambil melonggarkan tali
lehernya. Rimas!
“Bonda
dengar banyak khabar angin tentang kamu dan Sarah akhir-akhir ni.”
Terkalih
mata Tengku Ishaan Danish ke wajah Tengku Aznah. Kelihatan wanita itu mahukan
penjelasan daripadanya. Penjelasan yang dia pasti berkaitan dengan perkara yang
sedang diperkata wanita itu dan Tengku Iris Dania tadi.
“Maksud
bonda?” Tengku Ishaan Danish sengaja buat-buat tidak faham.
Dia
tahu, lambat-laun perkara itu pasti akan sampai ke pengetahuan Tengku Aznah.
Tapi Tengku Ishaan Danish peduli apa? Dia sudah menurut kehendak wanita itu
untuk sama-sama memajukan syarikat milik Tengku Aznah suami isteri dengan
Tengku Iris Dania. Jadi, wanita itu tiada hak untuk menghalangnya daripada melakukan
apa-apa yang dia mahu lakukan pula. Itu kata hati Tengku Ishaan Danish.
“Bonda
tahu dan bonda yakin, Sarah takkan buat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah
dia dan keluarga dia. Jadi, bonda harap kamu juga boleh contohi dia dalam bab
ni Is. Bonda tak mahu kamu buat sesuatu yang boleh memalukan nama kita
sekeluarga. Kalaupun khabar-khabar angin yang sedang bertiup kencang dalam
syarikat itu tak benar, bonda tetap nak kamu ingat. Sekali maruah dan nama kita
tercemar, sukar untuk kita meraih kepercayaan orang semula.” Peringatan Tengku
Aznah kedengaran tegas walau lembut.
“Cara
bonda cakap macamlah Is dah buat benda-benda tak elok dengan Sarah,” sahut
Tengku Ishaan antara dengar dengan tidak.
Malas
sebenarnya mahu bercakap tentang perkara remeh-temeh begitu. Dia sendiri bukan
tidak pernah dengar tentang semua itu. Tapi peduli apa dia dengan mulut manusia
lain? Hidup dia, suka hati dialah nak buat apa pun!
“Bonda
tak tuduh kamu. Tapi bonda tak mahu hanya kerana khabar-khabar tak elok ni, kita
sekeluarga dapat malu. Kalaupun kamu tak peduli tentang diri kamu,
sekurang-kurangnya kamu harus tolong jaga nama Sarah. Apa kata keluarga tunang
dia kalau dia orang tahu tentang khabar angin ni nanti?”
Terkalih
terus pandangan Tengku Ishaan Danish ke wajah serius bondanya. Tersentak dengan
kata-kata akhir wanita itu.
“Sarah
dah bertunang?” Spontan soalan itu terluah dari mulut Tengku Ishaan Danish
dengan keningnya sudah berkerut-kerut.
“Jadi,
betullah Sarah dah bertunang?” tekan Tengku Ishaan Danish sesaat kemudian tanpa
sempat wanita itu menjawab pertanyaannya. J
elas
dia begitu mengharapkan kepastian hingga timbul urat-urat tegang di lehernya.
Wajah tenang Tengku Aznah ditatap lama, bagai mahu ditelan saja.
“Yalah.
Mustahil sangat kamu tak tahu tentang perkara ni. Satu syarikat dah tahu Sarah
dah bertunang dan akan kahwin tak lama lagi,” sampuk Tengku Iris Dania pula. Dia
membalas selamba pandangan terkejut adik lelakinya.
“Dengan
siapa? Bila dia bertunang? Bila dia akan kahwin?” soal Tengku Ishaan Danish
dengan riak wajah yang begitu serius hingga menimbulkan rasa pelik di hati
Tengku Aznah dan Tengku Iris Dania.
Bukan
mereka tidak pernah lihat Tengku Ishaan Danish berkeadaan begitu. Tapi selama
perubahannya, baru kali ini Tengku Ishaan Danish beriak sebegitu. Riak yang
hanya akan terbentuk bila lelaki itu didatangi rasa marah yang amat sangat.
Tapi kenapa harus Tengku Ishaan Danish marah? Untuk apa? Baik Tengku Iris Dania
mahupun Tengku Aznah, kedua-dua beranak itu benar-benar tidak tahu.
“Dengan
lelaki pilihan keluarga dialah, tiga tahun lepas.”
“Tiga
tahun lepas? Maksud bonda, dia bertunang masa Is sedang sambung pengajian masters Is?” Suara Tengku Ishaan Danish
kedengaran tinggi. Hilang sudah rasa hausnya. Rasa penatnya apatah lagi,
langsung tidak terasa.
Wajah
milik Tengku Aznah dan Tengku Iris Dania pula menjadi mangsa renungan tajamnya.
Silih berganti hingga kecut perut sejenak kedua-dua wanita itu jadinya. Bagai
mereka pula yang menjadi pesalah di mata lelaki itu ketika ini. Sekilas,
bayangan dan kata-kata Sarah berputar-putar semula di ruang fikiran Tengku
Ishaan Danish. Ternyata gadis itu tidak bercanda bila bercakap perihal
pertunangannya siang tadi. Hanya Tengku Ishaan Danish sendiri yang tidak mahu
mempercayai.
“Siapa
tunang dia tu? Kerja apa? Tinggal kat mana? Pilihan dia sendiri atau keluarga?”
Bertubi-tubi Tengku Ishaan Danish bertanya lagi. Dia masih tidak puas hati
dengan penjelasan ringkas kedua-dua beranak itu. Sangat-sangat tidak puas hati!
“Pasal
tu, kamu tanyalah sendiri pada Sarah. Itu lebih baik. Sekarang ni, bonda nak
cakap tentang khabar angin kamu dengan dia. Kamu Is...” Tak jadi Tengku Aznah
nak menyambung bila tiba-tiba Tengku Ishaan Danish terus bangun daripada
duduknya.
“Eh,
kamu nak ke mana? Bonda belum habis cakap lagi ni,” kata Tengku Aznah lagi bila
dilihat Tengku Ishaan Danish sudah menapak laju menuju tangga ke tingkat atas.
“Ishaan!”
laung Tengku Aznah. Dia mencuba lagi, namun hampa.
Tengku
Ishaan Danish tidak menyahut. Sebaliknya lelaki itu tergesa-gesa melangkah
pergi dengan tangan sudah menekan-nekan telefon bimbitnya. Meninggalkan tanda
tanya kepada kedua-dua wanita yang melihatkan tingkah peliknya. Tengku Aznah
dan Tengku Iris Dania hanya mampu saling berbalas pandangan. Sama-sama tidak
mengerti.
“Kau
orang cakap terus terang kat aku. Betul atau tidak Sarah dah bertunang, hah?
Cakap!” tengking Tengku Ishaan Danish.
Dengan
pakaian yang masih belum bertukar sedari tadi, dia mundar-mandir di depan
kedua-dua orang suruhannya. Dia tidak betah melakukan apa pun saat ini selagi
dia tidak tahu kedudukan sebenar perkara itu. Sungguh dia tidak mampu berbuat
apa-apa, walau untuk bernafas dengan tenang sekalipun.
“Betul
Tengku. Dah tiga tahun Cik Sarah bertunang dengan lelaki pilihan keluarga dia,”
jawab salah seorang daripada orang suruhannya dengan mata yang masih tertala ke
arah hamparan rumput di laman vila Tengku Aznah.
Masing-masing
tidak berani bertentang mata dengan Tengku Ishaan Danish yang sudah serupa
singa kelaparan ketika ini. Marah tidak terhingga!
“Habis
tu kenapa tak bagi tahu aku pasal hal ni? Kenapa kau orang sembunyikannya daripada
aku? Bukankah aku dah pesan, semua perkara yang berkaitan dengan Sarah harus
sampai ke pengetahuan aku walau sebesar hama sekalipun. Kau orang ni buat kerja
ke tidak sepanjang aku kat luar negara dulu? Buat ke tidak?” Tengkingan Tengku
Ishaan Danish melangsing tinggi. Hatinya benar-benar dilanda puting beliung
ketika ini. Wajah takut-takut orang suruhannya dipandang lagi.
Lantas
Tengku Ishaan Danish mengucap istighfar beberapa kali seraya melepas nafas
panjang. Dia cuba menghalang diri sendiri daripada terus-terusan diresapi nafsu
marah kerana dia tahu, marah hanyalah tingkah syaitan dan sebagai manusia,
kemarahan itu hanya membinasakan. Tapi untuk dia mengawal sepenuhnya perasaan
itu, dia masih dan akan terus mencuba. Jika tidak, dia pasti, kedua-dua lelaki
yang masih tunduk mengira helaian rumput di depannya itu sudah lama mendapat
habuan setimpal.
Mujur
juga hanya mereka bertiga berada di laman luas vila Tengku Aznah. Jadi, suara halilintar
Tengku Ishaan Danish tidak menembusi segenap ruang dalam vila itu. Tapi buat
masa ini Tengku Ishaan Danish tidak peduli dengan semua itu. Apa yang dia tahu,
dia tidak suka bila mana kesayangannya menjadi milik orang lain. Sudahlah
begitu, tanpa pengetahuannya pula tu! Dia sangat-sangat tidak suka!
“Kami
bukan tidak mahu bagi tahu Tengku, tapi kami tak mahu tumpuan Tengku terhadap
pengajian Tengku terganggu. Kami bimbang kalau-kalau Tengku ambil keputusan
untuk berhenti belajar sedangkan Cik Sarah berharap Tengku akan dapat membawa
pulang segulung ijazah dan masters
selepas Tengku berjaya menamatkan pengajian.” Lembut, namun tergetar-getar
salah seorang daripada mereka memberi penjelasan.
Memang
itulah niat mereka menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan ketua mereka
itu. Bukan mereka tidak kenal dengan tingkah Tengku Ishaan Danish. Apa saja
lelaki itu mampu lakukan asalkan segala keinginannya tercapai biarpun cara yang
digunakannya itu menyakitkan orang lain.
“Huh!
Alasan. Kau orang sendiri pun tahu kan, betapa bermaknanya Sarah pada aku. Kau
orang boleh lagi buat aku macam ni? Memanglah kau orang ni, tak boleh diharap
langsung!” marah Tengku Ishaan Danish sudah bercampur aduk dengan rasa kesal.
Namun,
nada suaranya tidak lagi sekeras tadi. Sedikit sebanyak alasan yang diberikan
oleh orang suruhannya itu mampu memudarkan sedikit rasa amarahnya. Sedar dengan
kebenaran kata-kata mereka.
“Maaf
Tengku, tapi kami dah jaga Cik Sarah sepertimana yang Tengku suruh. Kami tak
pernah tinggalkan Cik Sarah walau ke mana pun dia pergi,” sahut orang
suruhannya jujur.
Amanah
yang ditinggalkan lelaki itu kepada mereka tidak pernah mereka lupa walau
seketika. Bagaimana mereka harus lupa sedangkan lelaki itulah yang banyak
membantu kehidupan mereka selama mereka berkhidmat di bawah arahan lelaki itu?
“Hurm...
Jadi kau orang tahulah siapa tunang dia tu?” soal Tengku Ishaan Danish semula
beberapa saat kemudian.
Hati
yang sedia panas diredakan lagi dengan panahan istighfar seberapa banyak yang
mungkin. Matanya memandang semula kedua-dua orang suruhannya yang mengangguk
hampir serentak.
“Tahu
Tengku. Semua maklumat pasal lelaki tu ada dalam pengetahuan kami. Malah apa
yang dia sedang lakukan pun kami tahu. Kalau Tengku nak, kami boleh bagi tahu
semuanya pada Tengku bila-bila masa saja.”
Tengku
Ishaan Danish mengangguk-angguk kecil. Dia melepas nafas panjang kemudian.
“Tak
apalah. Buat masa sekarang aku tak nak ambil tahu apa-apa pasal lelaki tu. Cuma
aku nak tahu satu perkara. Sarah terima lelaki tu sebab terpaksa atau dia
sendiri cintakan lelaki tu?” Terasa berat untuk Tengku Ishaan Danish meluah
soalan itu, namun dipaksa juga agar terlontar keluar dari tekaknya.
Bagaimana
dirinya tidak terasa berat andai hati sendiri terlebih berat untuk mendengar
jawapannya?
“Rasanya,
dia dipaksa Tengku. Mengikut apa yang kami tahu, keluarga Cik Sarah banyak
terhutang budi pada keluarga tunangnya tu.”
Terasa
lapang jiwa Tengku Ishaan Danish mendengarkan jawapan yang memang sangat-sangat
diharap-harapkannya itu. Lega yang amat!
“Maksudnya?”
Tengku Ishaan Danish kembali berlagak tenang biarpun di hati seribu kesyukuran
sudah diucapkan. Alhamdulillah. Hati Sarah masih belum dimiliki sesiapa. Girang
jiwanya semula mengingatkan keadaan itu.
“Tanah
tempat keluarga Cik Sarah tinggal sekarang tu sudah digadaikan kepada keluarga
tunangnya untuk melangsaikan hutang-hutang arwah ayah Cik Sarah. Kiranya,
mereka sekeluarga macam hidup menumpang aje di tanah tu sekarang. Mengikut
syarat perjanjian, Cik Sarah harus berkahwin dengan tunangnya itu pada masa
yang sudah ditentukan untuk membolehkan mereka sekeluarga terus tinggal di
situ. Jika tidak, Cik Sarah sekeluarga takkan punya apa-apa hak lagi ke atas
tanah tu,” jelas orang suruhan Tengku Ishaan Danish lagi. Kali ini dengan nada
yang lebih yakin memandangkan kemarahan Tengku Ishaan Danish sudah kelihatan
agak surut, walau tidak sepenuhnya.
“Jadi,
bilanya dia orang akan kahwin?” soal Tengku Ishaan Danish lagi.
Dalam
kepala, wajah mendung Sarah terbayang-bayang semula. Patutlah dia selalu
termenung. Banyak fikir pasal masalah keluarga yang tak pernah-pernah selesai
rupanya. Tidak semena-mena hati Tengku Ishaan Danish dijentik rasa kasihan.
Kasihan mengenangkan nasib hidup Sarah sekeluarga yang sememangnya sejak dulu
berada dalam pengetahuannya. Hanya dia yang berlagak seolah-olah tidak tahu
apa-apa bila berada bersama gadis itu.
“Kalau
tak salah, dalam masa dua tiga bulan ni. Tapi tak tahulah jadi ke tidak sebab Cik
Sarah macam mahu tak mahu aje nak kahwin dalam masa terdekat ni.”
Lalu
kepala Tengku Ishaan Danish terangguk lagi.
“Ada
apa-apa lagi tentang Sarah yang aku tak tahu?” soal Tengku Ishaan Danish
kemudian. Wajah orang-orang suruhannya ditatap dengan penuh teliti. Mencari
kepastian.
“Tak
ada Tengku. Itu saja satu-satunya perkara yang kami sembunyikan daripada
Tengku.” Jujur orang suruhannya memberitahu.
“Betul
ni?” Tengku Ishaan Danish masih kurang yakin.
Biarpun
kedua-dua orang suruhannya yang begitu setia dan jujur selama berkhidmat
dengannya, Tengku Ishaan Danish tetap menyimpan sedikit rasa ragu-ragu terhadap
mereka kerana dia sedar setiap manusia boleh berubah hati dan tingkah bila-bila
masa sahaja.
“Sumpah
Tengku.”
Terbentuk
senyuman lebar Tengku Ishaan Danish mendengar pengakuan itu. Lantas Tengku
Ishaan Danish kembali mengangguk. Sedang akalnya sudah terfikir sesuatu.
Sesuatu yang dia yakin, dapat memberikan dia kebahagiaan yang selama ini
diangankannya. Tidak saja kepada dia, tetapi juga kepada Sarah. Diam-diam, dia
tersenyum sendiri. Yakin dengan perancangan yang tiba-tiba muncul di kepala.
Dia
mahu goda Sarah habis-habisan. Itu perancangannya!